FOTO Hiasan.
Hilmi Isa

SEORANG pengarang buku melontarkan persoalan, “Mengapa Allah tidak jadikan malaikat sebagai teladan kepada manusia? Bukankah malaikat lebih sempurna? Jawapannya, menjadikan malaikat sebagai teladan tidak realistik. Sebagai contoh, malaikat tidak ada nafsu, jadi manusia tidak akan belajar mengenai cara kawalan nafsu.

Apabila seseorang ditanyakan siapa idola, individu contoh dan suri teladan, jawapan mereka pasti tokoh dari Barat. Mereka kebiasaannya adalah tokoh ternama dan berjaya.

Orang suka bercerita mengenai betapa hebat sikap Elon Musk, Jeff Bezos dan sebagainya. Apabila mereka ditanya mengenai rujukan dalam bidang kekeluargaan, mereka akan menjawab buku yang ditulis tokoh Barat seperti Adele Faber dan Mazlish dengan How to Talk so Kids Will Listen.

Hari ini Barat bercerita mengenai etika dalam menghadapi lawan yang kalah, usah dianiaya lagi. Rasulullah SAW mengajar dalam peperangan yang dimenangi umat Islam di mana apabila musuh menyerah, tiada lagi kekerasan digunakan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Bandingkan dengan cara Barat apabila mereka memenangi peperangan, wanita akan dirogol manakala kanak-kanak dijadikan hamba.

Baginda adalah seorang yang bijak dalam mengatur strategi dan bukannya melakukan tindakan semberono saja. Dalam satu peperangan, Baginda berpesan kepada tentera supaya tidak meninggalkan posisi mereka.

Sebaliknya, kedegilan ahli pasukan yang tamak untuk merebut ‘ghanimah’ yang ditinggalkan akhirnya membawa kecelakaan kepada pasukan Muslim.

Pada hari ini juga, kita berhadapan krisis rumah tangga yang teruk dalam kalangan masyarakat. Hakikatnya, kita lupa apa yang Rasulullah SAW ajar melalui teladan yang Baginda tunjukkan.

Pendakwah kelahiran United Kingdom, Shaikh Mohammed Aslam berkata, banyak hadis yang diriwayatkan mengenai kisah Baginda dalam menguruskan rumah tangga bersama isteri-isterinya.

Menurutnya, di sebalik kesibukan sebagai pemimpin, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan cuba membahagikan masa dengan sebaiknya bersama isteri-isterinya.

Baginda tidak pernah membawa pulang masalah di luar ke rumah. Walaupun kepenatan, Baginda akan pulang ke rumah dengan melemparkan senyuman.

Malah, sempat lagi menolong dan menguruskan rumah tangga bersama isteri-isterinya. Baginda menunjukkan sifatnya sebagai ketua keluarga dengan tidak akan membiarkan isterinya menguruskan rumah sendirian tanpa pertolongannya.

Untuk memperbaiki masalah yang dihadapi masyarakat, kita perlu meneliti semula teladan yang Rasulullah tunjukkan. Ramai Muslim hanya Muslim pada kulit semata-mata.

Apabila ditanya siapa teladanmu? Mereka akan menjawab di mulut, Rasulullah tetapi mereka tidak pernah mengkaji pengajaran di sebalik teladan Rasulullah.

Usah pelik jika kita berterus-terusan dalam masalah kerana kita lupa apa yang baginda pesan. Saidatina Aisyah apabila ditanya oleh seorang Badwi mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka beliau menjawab; “Akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penulis Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 1:30 AM