PATI minyak gaharu disimpan di dalam bekas cahaya lampu bagi proses penyerapan wap air yang terkandung dalam pati minyak.
PEKERJA Mayldha Gaharu menakik kayu gaharu untuk dihancurkan sebelum proses mendapatkan pati minyak gaharu.
PAK Ryan dan adiknya, Zolkefli Baba memeriksa keadaan pokok gaharu di ladang kepunyaan mereka.
Fatin Farhana Japre
rencana@hmetro.com.my


“Saya pernah digelar kurang siuman oleh rakan yang diajak bekerjasama menjalankan projek penanaman gaharu 13 tahun lalu kerana mereka menganggap projek ini tidak menjamin masa depan,” kata pengasas Mayldha Gaharu Ryan Abu Bakar Mohd Tawi.

Berbekalkan sedikit wang simpanan, semangat juang yang tinggi dan 10,000 batang anak pokok yang dibeli dari Indonesia, Ryan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Pak Ryan, 58, tetap meneruskan projek penanaman gaharu di tanah kepunyaannya berkeluasan 2.4 hektar di Tambak Paya, Melaka dan dua hektar di Sepang, Selangor.

Siapa sangka anak kelahiran Melaka ini sudah mampu tersenyum bangga menikmati hasilnya dengan jumlah pendapatan hampir lima angka setiap bulan sejak lima tahun lalu dan rakannya yang mentertawakan hasratnya dulu datang mencari Pak Ryan untuk belajar cara penanaman gaharu.

Menurut Pak Ryan, industri berasaskan pokok gaharu sangat lumayan jika pengusahanya memiliki kemahiran khusus mengenai produk hutan ini selain mempelbagaikan hasil supaya wujud daya saing dalam industri.

Pokok gaharu perlu ‘disakiti’ sama ada ditakik atau disuntik untuk mendapatkan teras dan jangan risau ia akan rosak kerana risikonya hanyalah kecurian.

Namun tidak ramai pengusaha yang berani mengambil risiko dalam projek penanaman gaharu walaupun diketahui hasilnya mampu memberi pulangan lumayan.

“Tidak dinafikan penanaman gaharu memerlukan modal yang besar dan proses untuk menghasilkan pati minyak gaharu amat rumit tetapi setiap inci produk hutan ini amat bernilai jika kita tahu mempelbagaikan hasilnya antaranya menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi.

“Saya dikira beruntung dapat menuntut ilmu gaharu ini daripada proses mencarinya di hutan hingga penghasilan produk daripada bapa mentua yang mengusahakan perniagaan gaharu di Solo, Indonesia.

“Pada masa sama, saya turut menyediakan perkhidmatan suntikan ubat Roselle Biotekformula Gaharu (RBG) kepada penanam gaharu di seluruh Malaysia,” katanya.

Menyingkap cabarannya menerusi perniagaan ini, Pak Ryan mengakui perjalanannya tidak mudah bukan saja kerana kekurangan modal tetapi proses mengekstrak pati minyak gaharu dan menghasilkan ubat suntikan yang rumit memakan masa berhari-hari.

“Selama sembilan tahun saya menuntut ilmu perniagaan gaharu dengan bapa mentua di Solo, Indonesia sambil bekerja di perusahaan gaharu miliknya untuk mengumpul modal yang cukup bagi memulakan perniagaan saya sendiri di Malaysia.

“Hujung 2004, saya pulang ke kampung halaman di Tambak Paya, Melaka dan memulakan projek penanaman gaharu. Semua duit simpanan habis digunakan untuk projek ini, namun kerana minat mendalam dalam bidang ini saya teruskan juga,” katanya.

Menurutnya, cabaran sebenar bermula sebelum proses penanaman lagi kerana perlu menyediakan nurseri yang dilengkapi vakum untuk mempercepatkan tumbesaran anak benih.

“Setiap vakum mampu memuatkan 3,000 anak benih dan tempoh matang dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sebelum proses penanaman dimulakan.

“Sebaik saja proses penanaman dimulakan, kita kena tunggu lima tahun untuk suntikan RBG bagi mendapatkan teras dan mempercepatkan pengeluaran minyak gaharu.

“Manakala untuk mendapatkan teras dan kayu minyak pula, perlu tunggu lagi dua tahun sebelum proses mengekstrak pati minyak gaharu dan menghasilkan produk berasaskan gaharu,” katanya.

Katanya, jika proses penanaman saja sudah memakan tahun, proses mengekstrak pati minyak gaharu pula mengambil masa hampir sebulan.

“Proses dimulakan dengan menghancurkan kayu minyak gred C sehingga menjadi hampas dan direndam selama satu minggu. Kemudiannya, 10 kilogram (kg) kayu gaharu yang dihancurkan tadi dimasak menggunakan mesin wap selama seminggu.

“Ia untuk mendapatkan pati minyak gaharu sebanyak 12 mililiter (ml) dan ia disimpan ke dalam bekas cahaya lampu bagi proses penyerapan wap air yang terkandung dalam pati minyak,” katanya.

Pak Ryan berkata, pati minyak yang sudah disuling akan diolah dengan campuran minyak wangi terkenal tanpa mengandungi alkohol dan dibotolkan dengan jenama Mayhraj Super Gaharu sebelum dibeli pedagang dari Mesir dan China.

“Apabila saya berjaya mendapatkan pati minyak gaharu, hampas kayu gaharu yang dimasak tadi dan air suling tidak dibuang begitu saja sebaliknya ada ahli perniagaan dari Taiwan atau Vietnam sudah menanti untuk membelinya dengan harga RM270 hingga RM350 sekilo untuk dijadikan setanggi.

“Manakala air suling pula dibotolkan menjadi air minuman kesihatan yang berupaya untuk merawat penyakit gaut, kencing manis, tulang dan sakit sendi,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai ubat suntikan RBG yang dihasilkannya, Pak Ryan berkata. pengusaha gaharu tidak perlu risau untuk mendapatkan khidmatnya kerana ubat suntikan ini dijamin bebas bahan kimia.

“Ini kerana antara bahan yang digunakan adalah gula Melaka, bunga roselle, pulut hitam, air gaharu dan beberapa bahan mentah lain.

“Ada pengusaha gaharu membeli ubat suntikan dari Thailand yang dipercayai mengandungi racun dan apabila disuntik pada pokok ia akan rosak dan menjadi gaharu beracun.

“RBG dijamin bebas bahan kimia dan setiap pokok yang disuntik akan berada di bawah jagaan pihak kami selama dua tahun selain mendapat suntikan kali kedua secara percuma.

“Dari segi caj perkhidmatan suntikan, satu pokok berharga RM180 hanya di kawasan negeri Melaka saja manakala di negeri lain dikenakan bayaran RM250,” katanya.

Selain menyediakan khidmat suntikan, pengeluar pati minyak gaharu, pengusaha pokok gaharu dan pembekal anak benih gaharu, Mayldha Gaharu juga menghasilkan produk berasaskan gaharu seperti teh, kopi, sabun dan air suling.

“Oleh itu, saya merancang membuka kedai di Kuala Lumpur dalam jangka masa dua tahun lagi untuk memperkenalkan produk keluaran Mayldha Gaharu berasaskan gaharu seperti sabun, minyak wangi, sejadah, tasbih dan banyak lagi.

“Terus terang saya langsung tidak gentar dengan persaingan sebab saya ada bahan mentah paling utama iaitu ubat suntikan yang tidak semua orang boleh hasilkan. Saya cuma mahu membuka mata masyarakat bahawa gaharu boleh dikomersialkan di negara kita untuk meningkatkan ekonomi masyarakat Melayu,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai cara penanaman dan penjagaan pokok gaharu, layari laman Facebook Mayldha Gaharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 3:44 AM