NURIN Izzati menunjukkan serangga jenis Attacus atlas yang disimpan sejak 1994.
PENOLONG Pegawai Penyelidik Kanan P Jayprakash membuat kajian serangga.
NURIN Izzati (kanan) bersama pegawai penyelidik sedang membuat kajian serangga.
PELBAGAI jenis serangga yang disimpan.
PELBAGAI jenis serangga yang disimpan sejak 1970.
JENIS serangga yang terdapat pada pokok misai kucing.
JENIS serangga yang terdapat pada pokok belimbing.
SETIAP jenis serangga direkodkan untuk rujukan.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Pernahkah anda melihat lebih 30,000 spesimen serangga sama ada yang sudah dikenal pasti atau belum?

Kebanyakan serangga berkenaan dikenal pasti menyerang pelbagai tanaman pokok dan sayuran.

Oleh itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mewujudkan Muzium Serangga sejak 1970-an bagi memberi perkhidmatan mengenal pasti dan pengecaman serangga.

Ia juga sebagai pusat rujukan bagi penyelidik, pelajar, petani dan orang ramai yang berminat dalam kajian serangga.

Pegawai Penyelidik Muzium Serangga MARDI Nurin Izzati Mohd Zulkifli berkata, koleksi serangga ini juga digunakan sebagai bahan pameran dalam bidang pertanian.

Beliau berkata, ia juga digunakan dalam menghasilkan buku penyelidikan, penulisan kertas kerja, journal pertanian dan risalah serangga sebagai bahan rujukan.

“Muzium ini berguna dalam kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) projek pertanian yang penting untuk industri pertanian negara.

“Koleksi serangga ini terdiri daripada pelbagai ‘order’ dan ‘famili’. Terdapat kira-kira 30,000 spesimen disimpan dalam kotak pameran untuk rujukan.

“Tujuan utama untuk memberi perkhidmatan pengecaman serangga dan khidmat nasihat berkenaan cara menjaga koleksi serangga,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini.

Menurutnya, perkhidmatan ini diberikan kepada semua pihak termasuk kakitangan kerajaan, agensi kerajaan, swasta, pelajar, petani dan individu yang berminat dalam bidang kaji serangga.

“Koleksi dilakukan dengan pelbagai cara iaitu kutip dengan tangan, menggunakan jaring dan perangkap serangga.

“Sementara cara simpanan serangga yang sudah dikutip adalah melalui cara kering dengan dipinkan atau cara basah disimpan dalam alkohol,” katanya.

Nurin Izzati berkata, proses serangga yang disimpan dalam koleksi rujukan ialah dengan mengutip serangga dari ladang di seluruh negara dan membawa balik ke makmal untuk diasingkan.

“Kemudian ia ‘dipinkan’ serangga berkenaan dan melabelkan serangga untuk memudahkan kami mengenal pasti jenis serangga terbabit.

“Selepas itu, kami akan mendaftar nama dan famili serangga berkenaan dalam buku rujukan yang disimpan dalam koleksi rujukan,” katanya.

Beliau berkata, selain melakukan aktiviti mengenal pasti serangga, pegawai MARDI juga akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), projek biodiversiti serangga dan kerja luar dalam bidang kajian serangga.

“Koleksi serangga dalam Muzium Serangga MARDI menjadi tempat rujukan dan kajian serangga untuk menambah pengetahuan khususnya dalam bidang entomologi.

“ Kami juga sedia membantu orang ramai untuk memberi perkhidmatan pengecaman dan tunjuk ajar berkaitan kajian serangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 2:58 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »