DR Farah Fazwa (kiri) dan Syafiqah Nabilah menunjukkan produk kompos CompAcc dan pokok kacip fatimah.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Tanaman kacip fatimah berdepan masalah pertumbuhan pucuk dan daun yang perlahan ketika proses pengikliman anak daripada keratan serta anak daripada tisu kultur.

Sehubungan itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menghasilkan kompos CompAcc yang dapat membantu pertumbuhan pokok dari segi penghasilan daun dan ketahanan pada pokok terutama kacip fatimah di peringkat pengikliman tapak semaian.

FRIM mengorak langkah menghasilkan kompos yang diadun menggunakan komponen paling penting iaitu bahan organik seperti daun kering, sisa kisaran ranting, daun dan pokok.

Selain itu, kompos ini juga adalah hasil daripada campuran daun kering kacip fatimah itu sendiri.


KAKITANGAN Cawangan Membaikbiak Herba dan Pokok (MHP), Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM memasukkan kompos ke dalam beg semaian pokok kacip fatimah.

Pegawai Penyelidik FRIM Dr Farah Fazwa Md Ariff berkata, kompos CompAcc memberi kandungan makronutrien yang tinggi seperti nitrogen dan kalium khusus untuk membantu meningkatkan jumlah bilangan daun bagi spesies kacip fatimah.

Beliau berkata, adunan kedua-dua bahan organik di atas juga mampu meningkatkan daya tumbesaran serta kualiti kandungan kimia yang ada dalam kacip fatimah.

“Buat masa ini, kami menggunakan kompos berkenaan untuk keperluan tanaman kacip fatimah di tapak semaian Cawangan Membaikbiak Herba dan Pokok, FRIM khusus untuk pokok yang dihasilkan melalui teknik kultur tisu dan kaedah keratan.

“Penggunaan CompAcc dapat meningkatkan kadar pertumbuhan daun sebanyak 35 peratus berbanding penggunaan kompos biasa di pasaran,” katanya.


PELADANG menggaulkan kompos CompAcc.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Pertandingan Hari Rekacipta dan Inovasi FRIM 2017 di Kepong, baru-baru ini.

Farah Fazwa berkata, pihaknya merancang memasarkan produk berkenaan bermula awal tahun hadapan dengan menyasarkan pengusaha tanaman kacip fatimah di seluruh negara.

“Kami mendapati kompos berkenaan mempunyai banyak kelebihan kerana ia mampu meningkatkan kuantiti dan kualiti khusus untuk tanaman kacip fatimah.

“Sebelum ini, peratus kehidupan pokok kacip fatimah di peringkat pengikliman hanya mencapai sebanyak 50 hingga 60 peratus.

“Namun selepas menggunakan CompAcc berkenaan, peratus kehidupan bertambah kepada 90 peratus sekali gus dapat membantu mengurangkan kos operasi penyelenggaraan pokok di tapak semaian,” katanya.


PELADANG menabur kompos ke dalam tanah.

Inovasi CompAcc berjaya merangkul Pingat Emas sempena Pertandingan Hari Rekacipta dan Inovasi FRIM 2017.

Ia juga hasil inovasi daripada dua penyelidik lagi iaitu Datuk Dr Marzalina Mansor dan Syafiqah Nabilah Samsul Bahari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 2:31 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »