PATI atau racun serangga itu boleh disimpan selama enam bulan dan lebih lama disimpan ia lebih berkesan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Konsep pertanian lestari yang mementingkan penjagaan alam sekitar kian mendapat perhatian masyarakat termasuk membabitkan tanaman organik menggunakan baja dan racun perosak yang dibuat secara organik tanpa bahan kimia berbahaya.

Penerapan konsep berkenaan bukan saja diterima petani atau peladang yang mengusahakan tanaman untuk tujuan komersial, tetapi juga isi rumah yang menanamnya sebagai hobi bagi kegunaan sendiri.

Lebih menarik, kaedah yang digunakan juga dapat mengurangkan kos apabila bahan digunakan boleh diperoleh dengan mudah membabitkan barangan harian dari dapur setiap rumah.

Contoh paling mudah adalah menghasilkan racun serangga organik yang hanya menggunakan campuran beberapa bahan terutama sayuran.


DR NORIDA menunjukkan cara membuat racun serangga organik menggunakan bahan dapur.

Pensyarah Kanan (Penilaian Risiko) Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norida Mazlan berkata, kajian dibuat pihaknya menemui dua kaedah untuk menghasilkan racun serangga organik atau lebih tepat penghalau serangga.

Menurutnya, kaedah itu sudah lama ditemui namun tidak ramai yang menggunakannya walaupun racun serangga buatan sendiri itu ternyata berkesan.

“Kaedah pertama adalah menggunakan bahan A iaitu lima ulas bawang putih, enam biji cili api, seulas halia dan 300 mililiter (ml) air.

“Bahan B iaitu satu sudu minyak masak dan satu sudu cecair pencuci pinggan,” katanya pada Program Klinik Pertanian Daerah Batang Padang di Arena Merdeka, Tapah, Perak, baru-baru ini.


BAHAN A iaitu lima ulas bawang putih, enam biji cili api, seulas halia dan 300 mililiter (ml) air.

Norida berkata, alatan yang diperlukan adalah pengisar, penapis, bekas simpanan (botol) dan penyembur.

“Kisar bahan A kemudian tapis dan ambil patinya sebelum dicampurkan bersama bahan B dan kacau hingga sebati serta kemudian disimpan dalam bekas selama 24 jam.


KISAR bahan A.

“Untuk penggunaan, pati campuran itu kemudian dicampur dengan nisbah satu bahagian bersama empat bahagian air sebelum disembur pada tanaman.

“Pati atau racun serangga itu boleh disimpan selama enam bulan dan lebih lama disimpan ia lebih berkesan,” katanya.


KEMUDIAN tapis dan ambil patinya.

Menurutnya, kaedah kedua adalah lebih mudah dengan hanya menggunakan daun semambu dan air.

“Gunakan 250 gram daun semambu dengan 1.5 liter air dan kemudian ramas daun semambu sebelum masukkan ke dalam bekas berisi air berkenaan.


CAMPURKAN bersama bahan B dan kacau hingga sebati serta kemudian disimpan dalam bekas selama 24 jam.

“Rendam daun semambu selama 12 jam atau tidak lebih 24 jam dan tapis airnya,” katanya.

Norida berkata, masukkan air dalam bekas penyembur berisi air dengan nisbah 1:50 dan perlu digunakan semuanya kerana tidak boleh disimpan melebihi 24 jam.


UNTUK penggunaan, pati campuran itu kemudian dicampur dengan nisbah satu bahagian bersama empat bahagian air.

Katanya, semua kaedah penghasilan penghalau serangga organik berkenaan hanya menggunakan kos yang rendah atau boleh dikatakan tanpa sebarang kos, namun untuk keberkesanan ia perlu kerap disembur pada tanaman.


DAUN semambu turut berkesan untuk dijadikan penghalau serangga pada tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 2:13 PM