M Saedon melawat tapak pameran.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Inovasi dan transformasi antara perkara yang diberi perhatian khusus oleh kerajaan dalam usaha menuju ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, inovasi dalam perkhidmatan awam adalah penting kerana ia menggalakkan daya saing negara.

Beliau berkata, penjawat awam adalah jentera penting dalam menjayakan setiap aspirasi kerajaan.

“Justeru, adalah menjadi keutamaan kepada kita untuk terus mempergiatkan usaha dalam menyemarakkan lagi budaya inovasi, memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Sama ada sedar atau tidak, kita semakin hampir untuk menuju ke tahun 2050, dalam mencapai matlamat status negara maju berpendapatan tinggi dengan sasaran pertumbuhan ekonomi yang mantap dan konsisten.

“Kerajaan sudah menggariskan Dasar Transformasi Negara yang mana transformasi itu bersifat struktural dan menjurus kepada dasar negara dan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Inovasi LKIM Tahun 2017 dan Sambutan Ulang tahun LKIM ke-46 di Putrajaya, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid.

Irmohizam berkata, transformasi perkhidmatan awam adalah reaksi kepada cabaran persekitaran semasa dan arus globalisasi yang memberi kesan kepada suasana politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat.

“Pengharapan rakyat yang semakin meningkat, di samping kemajuan pesat dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat menjadikan prestasi perkhidmatan awam lebih mudah untuk diteliti dan dinilai oleh masyarakat.

“Dalam konteks ini, anggota perkhidmatan awam amnya dan kakitangan LKIM khasnya perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab serta mencari penyelesaian kreatif dan inovatif sehingga menjangkau pemikiran dan keberanian untuk bereksperimen dengan menggunakan kaedah kerja baru di luar kotak kelaziman.

“Justeru, budaya inovatif menjadi agenda utama dalam menghasilkan perubahan berimpak besar kepada kerajaan melalui program transformasi sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, usaha sebegini perlu disokong semua peringkat terutama pengurusan atasan bagi memastikan nilai kreativiti dan inovasi menjadi budaya kerja dan bukan bermusim atau mengikut pertandingan semata-mata.

“Kadangkala, satu pandangan atau idea daripada orang biasa mungkin boleh menjadi sesuatu yang luar biasa kepada agensi kita.

“Jika dilihat dari sudut pencapaian negara di persada antarabangsa, Malaysia ketika ini berada di kedudukan ke-37 daripada 127 negara dan di tangga kelapan di Asia dalam Indeks Inovasi Global (GII).

“Kita masih lagi di kedudukan ke-10 negara teratas Asia. Senario ini secara tidak langsung menuntut penjawat awam perlu menyahut cabaran yang lebih besar dan melipatgandakan usaha bagi mencipta pelbagai lagi inovasi untuk perkhidmatan awam dalam usaha memenuhi tuntutan semasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, selepas 46 tahun penubuhan LKIM, nama ini sudah tidak asing dalam kalangan wira nelayan negara.

“Kebajikan nelayan adalah keutamaan LKIM dalam menerajui sektor perikanan negara. Kebajikan sosial wira-wira yang tidak didendang ini direncana dan dirangka sebaiknya dengan penubuhan Persatuan Nelayan (PN) baik di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan.

“Penubuhan PN bertujuan menyatupadukan masyarakat nelayan dalam satu gabungan kumpulan ke arah menggemblengkan tenaga, daya usaha, pemikiran dan merancang serta melaksanakan setiap aktiviti dan perkhidmatan bagi keperluan serta kepentingan ahli khasnya dan masyarakat nelayan amnya.

“PN juga bertindak sebagai medium penyampai atau suara kepada masyarakat nelayan dalam melahir atau mengemukakan pendapat, cadangan, hasrat sebenar dan permasalahan daripada kumpulan sasar kepada mana-mana pihak berkaitan atau terus kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini, LKIM akan mewujudkan Stok Penimbal Ikan (SPI) dapat dilaksanakan bagi menjamin bekalan ikan yang stabil pada masa-masa tertentu seperti musim tengkujuh dan lambakan.

“Bagi menjayakan program ini, keperluan penyediaan kemudahan pembekuan secara Pembekuan Pantas Individu (Individual Quick Freezing, IQF) dan kemudahan penyimpanan perlu disediakan.

“Program ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan memberikan harga yang berpatutan kepada nelayan seperti ikan, sayur, ayam dan telur,” katanya.

Irmohizam berkata, LKIM juga menyambut baik hasrat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mewujudkan Bandar Pelancongan Perikanan (BPP) yang lebih komprehensif di Malaysia.

“Perancangan jangka masa panjang berkenaan bakal membuka peluang dan menggalakkan pembabitan lebih ramai belia dalam sektor perikanan negara bagi merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:38 PM