PELBAGAI jenis tumbuhan boleh ditanam dalam vivarium.
PENUNTUT Fakulti Pertanian mempamerkan vivarium.
Vivarium dihasilkan peserta jadi tarikan.
DR Abdul Shukor (kanan) melawat pameran vivarium.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Pertanian alaf baru menghadapi beberapa cabaran utama seperti kekangan sumber yang semakin berkurangan dan tuntutan ke atas kesejahteraan alam sekitar.

Konsep dan amalan pertanian lestari menjadi sangat penting demi kelangsungan industri pertanian di negara ini.

Oleh itu, konsep vivarium antara medium terbaik untuk menerapkan pemahaman serta kelestarian melalui aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan sumber pertanian, penjagaan kepelbagaian biologi (biodiversiti) serta pengekalan kepelbagaian sumber genetik.

Ia juga melatih kemahiran pertanian melalui proses perancangan, pembinaan, penjagaan dan pengurusan yang terkawal.

Vivarium boleh dibahagikan kepada tujuh jenis iaitu terrarium, aquarium, insectarium, paludarium, penguinarium, riparium dan herpatarium yang masing-masing mempunyai ciri istimewa yang tersendiri.

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan yang mendalam kepada orang awam dan pelajar mengenai kehidupan haiwan dan tumbuhan dalam bekas kaca.

Beliau berkata, vivarium didefinisikan sebagai satu ekosistem yang dibina di dalam kawasan tertutup dengan persekitaran yang terkawal atas tujuan memelihara dan mengekalkan sumber biodiversiti daripada perspektif pertanian.

“Vivarium juga dapat melahirkan individu yang kreatif untuk mempelbagaikan teknik penanaman dan penjagaan pertanian sebagai usaha meluaskan peluang ekonomi dalam bidang pertanian.

“Ia seterusnya dapat menerapkan sifat dan budaya menjaga alam sekitar dalam diri setiap individu sama ada pelajar mahupun orang ramai melalui aktiviti yang dianjurkan.

“Vivarium adalah kawasan, biasanya tertutup untuk menjaga haiwan dan tumbuh-tumbuhan sebagai pemerhatian atau penyelidikan. Sebahagian ekosistem disimulasikan pada skala yang lebih kecil dengan kawalan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Festival Vivarium 2017 di UPM, Serdang, baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM Prof Madya Dr Radziah Othman dan Pengarah Program Festival Vivarium 2017 Dr Mohd Firdaus Ismail.

Abdul Shukor berkata, vivarium adalah biosfera buatan yang paling semula jadi kerana fungsi biologi yang terjadi di dalamnya mirip dengan yang terjadi di alam ini.

“Program ini membabitkan semester Fakulti Pertanian UPM yang dianjurkan untuk kali kelima. Program ini, asalnya satu program berskala kecil iaitu Pameran Taman Terrarium & Miniatur yang julung kalinya dianjurkan pada 2015.

“Ia membabitkan pameran terutama berkonsepkan terrarium. Bagaimanapun, program ini berkembang maju saban tahun melalui peningkatan dari segi bilangan penganjur dan pengunjung.

“Di samping peningkatan ilmu dan kesedaran pelajar terhadap konsep sebenar terrarium seterusnya membawa kepada penganjuran program Festival Vivarium,” katanya.

Selain itu, katanya, program ini dapat mengeratkan hubungan antara pelajar pelbagai kaum, usia dan hubungan antara pelajar dengan pensyarah.

“Ia dapat memupuk semangat kerjasama dan sikap toleransi dalam kalangan warga UPM. Program ini membabitkan 32 kumpulan pameran vivarium dan enam kumpulan poster yang terdiri daripada kelas Botani Pertanian (kumpulan 2, 3 dan 4).

“Kelas Sains Tanah (kumpulan 1), kelas Pertanian dan Manusia (kumpulan 24 dan 25), Kelab PERMATANI, Kelab Bacelor Sains Pertanian (Akuakultur), Kelab Bacelor Sains Pertanian dan Kelab Bacelor Sains Pengurusan Perladangan.

“Program ini juga adalah program yang berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat apabila kita dapat mempelajari perkara baru khususnya dalam bidang pertanian,” katanya.

Menurutnya, ia boleh menaikkan impak kepada masyarakat untuk melihat dan memahami bahawa ‘pertanian adalah suatu perniagaan’ yang memberi keuntungan lumayan kepada pengusahanya selain dapat meningkatkan ekonomi negara.

“Fakulti Pertanian sentiasa fokus dalam usaha memartabatkan pendidikan pertanian melalui aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang kreatif, menarik dan terkini.

“Saya berharap penuntut terbabit dapat menjadikan aktiviti sebegini sebagai suatu anjakan paradigma untuk terus mencapai kejayaan demi kejayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:53 PM