PROJEK perintis tanaman nanas MD2.
PEKERJA ladang menunjukkan benih nanas MD2.
PEKERJA ladang sedang menanam benih nanas MD2.
SEBAHAGIAN benih nanas MD2 yang dibawa masuk ke Sarawak.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Industri nanas antara inisiatif sumber kekayaan baru Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020.

Bagi mengembangkan industri itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berjaya memulakan projek pertama tanaman nanas premium varieti MD2 di Sarawak.

Sarawak antara negeri yang berpotensi besar bagi penanaman secara perladangan dengan varieti premium untuk tujuan eksport.

LPNM kini memberi tumpuan kepada penanaman nanas berskala komersial bagi memastikan pengusaha terbabit mampu memperoleh pendapatan lebih baik melalui pengurusan cekap dan sistematik.

Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pada tahun 2020, Sarawak bakal menjadi hab pemasaran nanas MD2 khususnya ke China, sekali gus mampu membekalkan 100 kontena sebulan dengan anggaran nilai eksport sebanyak RM6 juta.

Beliau berkata, jumlah produktiviti penanaman nanas di Sarawak iaitu 26 metrik tan perhektar dengan sasaran 45 metrik tan perhektar menjelang 2020.

“Industri nanas Sarawak juga akan diperluaskan ke produk pemprosesan seperti pes, jem dan jus nanas umpamanya di Samarahan.

“Menerusi keluasan permulaan seluas empat hektar, ia akan dibangunkan sebagai Pusat Pembiakan Benih dengan peruntukan RM300,000 sebagai projek perintis pengeluaran benih di Sarawak.

“Tapak projek ini mempunyai keluasan keseluruhan seluas 129 hektar,” katanya sempena Majlis Pelancaran Projek Perintis Tanaman Nanas Premium Negeri Sarawak di Kampung Padang Pan, Bau, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek dan Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd Anim Hosnan.

Samsolbari berkata, pada tahun ini, LPNM memperuntukkan RM2 juta di bawah inisiatif sumber kekayaan baru bagi membangunkan empat lagi usahawan benih nanas MD2 pada keluasan 16 hektar di negeri itu.

“Dianggarkan 800,000 benih nanas MD2 akan disalurkan kepada pengusaha terbabit.

“Sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada industri nanas negara bagi tahun ini. Daripada jumlah itu, RM6.5 juta diperuntukkan kepada negeri Sarawak (termasuk RM2 juta sumber kekayaan baru).

“Hala tuju pembangunan nanas di Sarawak adalah untuk meningkatkan pendapatan pengusaha nanas daripada RM1,500 kepada RM4,000 sebulan sementara pendapatan pengusaha nanas premium (MD2) adalah RM5,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, seramai 665 pengusaha nanas menerima manfaat melalui program kerajaan dan di bawah pelan perancangan LPNM yang menyasarkan tambahan keluasan sebanyak 3,500 hektar tanaman nanas dengan 827 hektar dikhususkan untuk nanas MD2 menjelang 2020.

“Pada tahun 2016, kita sudah melaksanakan program banci tanaman nanas Sarawak bagi mendapatkan maklumat dan data yang lebih tepat berkenaan perusahaan nanas di negeri ini.

“Sebanyak 96 peratus nanas di negeri ini ditanam di tanah gambut sementara empat peratus di tanah mineral. Enam varieti utama ditanam di Sarawak ialah Moris, Josapine, Sarawak, Hibrid N36, Hibrid N19 dan Moris Gajah.

“Varieti Moris merangkumi 72 peratus daripada keluasan tanaman nanas di negeri ini,” katanya.

Katanya, LPNM mula beroperasi di Sarawak pada tahun 2010 dan baru kini benih nanas MD2 dibenarkan dibawa masuk ke Bumi Kenyalang itu.

Sementara itu, Uggah berkata, industri nanas di Sarawak mempunyai banyak peluang dan ruang untuk dimajukan ke tahap yang lebih tinggi.

“Menerusi sokongan kerajaan negeri, nanas mampu untuk menjadi salah satu pemangkin pertumbuhan utama industri berasaskan pertanian di Sarawak.

“Saya berharap LPNM dapat memainkan peranan dalam memastikan sektor tanaman nanas di negeri ini dapat berkembang cepat dengan penggunaan teknologi dan pengenalan varieti baru seperti MD2 yang lebih menguntungkan pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, negeri ini memberi sumbangan yang paling besar dalam sektor pertanian negara iaitu sebanyak RM14.7 bilion pada 2016 berbanding RM11.8 bilion pada 2010.

“Sektor pertanian di negeri ini akan dimajukan dengan lebih agresif melalui peruntukan sebanyak RM223 juta bagi 2018 di bawah bajet kerajaan negeri dan ini tidak termasuk bajet sektor pertanian 2018 di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Ia termasuk pembangunan sektor industri nanas yang mula berkembang di Sarawak sejak kemasukan LPNM ke negeri ini pada tahun 2010,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:38 PM