PESERTA melihat trak makanan yang disediakan bagi mereka yang mahu membuat pinjaman kedua selepas selesai pembayaran balik pinjaman perniagaan.
Faliq Lajim
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Kekangan modal, tidak mempunyai produk dan tiada pengalaman dalam selok-belok perniagaan antara punca kegagalan usahawan di negara ini.

Menyedari hakikat itu, Hijrah Selangor memperkenalkan Program Zero to Hero sebagai platform kepada yang ingin bergelar usahawan atau peniaga kecil-kecilan.

Pengurus Syarikat Chommel Areca yang juga antara peneraju dalam program berkenaan, Shahrifuddin Isnan, 26, berkata, dia juga bermula sebagai penjual ayam gunting secara kecil-kecilan di sekitar Shah Alam, Selangor sejak 2014.

“Sejak kecil saya memang minat bidang perniagaan. Tamat saja diploma dalam bidang ini di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), saya terus mengambil peluang untuk berniaga secara kecil-kecilan.

“Sebaik mengetahui program berkenaan, saya tidak melepaskan peluang dan syukur perniagaan ayam gunting mendapat sambutan.

“Segelintir rakan memperlekehkan usaha saya kerana berniaga di tepi jalan. Tapi dalam program ini saya dibentuk menjadi seorang yang cekal,” katanya.

Menurutnya, ketika berniaga ayam gunting berkenaan dia mendapat pulangan sehingga RM5,000 membuatkannya semakin seronok berniaga berbanding makan gaji.

Katanya, untuk ke sampai tahap ini bukannya sukar jika seseorang itu mahu mengubah diri sendiri berbekalkan usaha dan cekal dalam menempuh cabaran.

“Dalam program ini, pinjaman modal, produk, segala kelengkapan semuanya diberikan. Pinjaman modal RM5,000 dengan tempoh tiga tahun untuk diselesaikan secara ansuran.

“Menariknya, lebih 50 peratus usahawan berjaya menyelesaikannya dalam tempoh hanya setahun apabila menyertai program ini.

“Malah, Program Zero to Hero ini turut memberi bimbingan kepada usahawan gerai hingga mampu berniaga melalui trak makanan,” katanya.


PESERTA menyaksikan demonstrasi bancuhan air Milo.

Menurutnya, apabila berjaya melangsaikan pinjaman itu, usahawan berpeluang mengembangkan perniagaan melalui trak makanan mengikut kesesuaian masing-masing.

“Setakat ini, hampir 2,000 peniaga kecil berjaya dilahirkan dan pihak kami menyasarkan 25 hingga 30 peniaga kecil mengikut setiap kawaasan Parlimen di Selangor ini pada tahun ini.

“Dalam program ini juga, mereka yang mahu berniaga boleh memilih perniagaan yang diinginkan termasuk ayam gunting, menjual air coklat, spa dan urut,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Asri Mamat, 46, berkata dia sudah tiga kali berniaga secara kecil-kecilan namun semuanya gagal berikutan tidak mempunyai asas dalam bidang itu.

“Dalam program ini, saya banyak belajar dan mengenal pasti punca kegagalan dalam perniagaan sebelum ini.

“Bagi saya, program ini perlu diperluaskan lagi terutama kepada golongan asnaf dan orang muda berikutan lebih membantu mereka untuk menambah pendapatan.

“Lagipun, semuanya sudah disediakan di sini. Tiada alasan lagi. Saya harap mampu bergelar usahawan dari ‘Zero to Hero’ selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga bebola daging dan keropok lekor secara kecil-kecilan di Subang Jaya, Rosman Abdul Majid, 51, berkata dia menyertai program ini untuk membesarkan lagi perniagaan gerainya kepada trak makanan.

“Saya hanya berniaga makanan di gerai. Menerusi program ini, kami bukan saja diberi tunjuk ajar berkenaan selok-belok perniagaan malah turut diingatkan mengenai asas kebersihan walaupun berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:48 AM