STAF HTC membuat ujian makmal.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut menyumbang kepada pembangunan industri herba melalui penyelidikan yang dijalankan sama ada dari aspek saintifik dan juga ekonomi.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) FRIM berjaya memberi impak yang positif kepada keseluruhan industri herba melalui proses pemindahan teknologi.

Secara tidak langsung ia mewujudkan perkongsian maklumat dan pengetahuan serta penciptaan produk inovasi terkini yang membawa kepada peningkatan penghasilan produk berasaskan herba.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, secara umumnya, FRIM turut menyalurkan khidmat teknikal dan sokongan dalam penghasilan produk berakreditasi.

Beliau berkata, Pusat Teknologi Herba (HTC) FRIM menjadi tumpuan pengusaha bagi mendapatkan khidmat teknikal dalam proses penghasilan produk berasaskan herba.

“Sementara Bahagian Hasilan Semula Jadi pula menumpukan usaha dalam menghasilkan kajian saintifik bagi pengecaman spesies dan penghasilan produk herba berkualiti.

“Selain itu, Program Ekonomi dan Analisis Strategik pula lebih memfokuskan kajian yang cenderung kepada penawaran serta permintaan dalam pasaran industri herba,” katanya.

Menurutnya, bagi melihat impak R&D FRIM kepada pemain dalam industri herba, beberapa siri perbincangan diadakan membabitkan beberapa syarikat iaitu Ethno Resources Sdn Bhd, BR Herba Resources, Herbagus Sdn Bhd dan Biotropics Malaysia Berhad.

“FRIM terbabit secara langsung dalam R&D berkaitan herba bermula pada 1994 selepas mesyuarat Kabinet meluluskan penubuhan Bahagian Tumbuhan Ubat-Ubatan yang sekarang dikenali sebagai Bahagian Hasilan Semula Jadi.

“Penubuhan bahagian ini pada 1995 menumpukan pada R&D yang menggariskan kepentingan sumber dari hutan bagi menghasilkan pelbagai jenis ubatan.

“Bagi memahami landskap sebenar industri herba, FRIM sudah mengambil satu inisiatif dengan menjalankan kajian berkaitan rantaian nilai industri herba pada 2011 bagi membangunkan pangkalan data yang komprehensif di peringkat huluan dan hiliran di seluruh negara,” katanya

INFO

• Kejayaan produk tongkat ali keluaran Biotropics menembusi pasaran antarabangsa adalah satu penanda aras bagi penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan aplikasi (R, D, C & A) FRIM.

• Azuki dari Herbagus adalah usahawan yang berjaya membangunkan syarikat berasaskan herba melalui pendedahan dan bimbingan teknikal FRIM walaupun beliau sebenarnya seorang jurutera.

• Produk kunyit putih keluaran BR Resources akhirnya berjaya mendapat kelulusan KKM membuktikan usaha berterusan FRIM dalam membantu usahawan kecil Bumiputera bagi menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat.

• Ethno Resources adalah salah sebuah syarikat yang mendapat pendedahan dan bimbingan awal daripada FRIM. Kini, syarikat ini telah mempelbagaikan lagi cabang perniagaannya dengan menjadikan herba sebagai satu tarikan eko pelancongan di Taiping, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:31 AM