NOR Arif dan Norizan melakukan kerja penghasilan beg media untuk cendawan tiram yang bongkahnya lebih panjang berbanding bongkah cendawan sisir.
Noor Hidayah Tanzizi
rencana@hmetro.com.my

Cendawan kukur atau kulat sisir (Schizophyllum commune) sememangnya tidak asing dalam kalangan penduduk negara ini yang dijadikan sebagai juadah enak.

Ia tumbuh liar pada batang pokok kayu yang sedang menjalani proses pereputan selepas hujan.

Di Malaysia, cendawan sisir dari pokok kayu getah paling popular dikutip untuk dijadikan masakan enak.

Di daerah Perak Tengah, Perak cendawan itu lebih dikenali dengan nama ‘cendawan syisyor’ yang dimasak rendang pedas selain lemak cili api.

Bukan saja enak dijadikan masakan, malah ia antara tanaman yang mudah biar pun pengurusan tanamannya agak rumit.

Malah, tanaman itu mendapat sambutan menggalakkan hingga tidak dapat menampung permintaan pelanggan dan memberikan pulangan lumayan yang kini diusahakan secara komersial.

Menyedari faktor itu, Nor Arif Mat Nasid, 39, dan isteri Norizan Samsuri, 35, menjadikan tanaman cendawan itu sebagai salah satu komponen utama perniagaannya selain cendawan tiram sejak Oktober tahun lalu.

Menurut Nor Arif, dia terbabit dalam tanaman cendawan sejak 2006 dengan menjadikan cendawan tiram sebagai produk utama.

“Sebelum ini, saya berniaga di pasar dan jiran sebelah tapak gerai menjual cendawan sisir dan ramai yang suka, malah jualannya habis cepat.

“Dari situ, idea menanam cendawan sisir mula timbul dan seterusnya memperluaskan tanaman,” katanya ketika ditemui di tapak projeknya di Kampung Parit 11, Titi Gantong di Bota, baru-baru ini.

Usaha itu mendorongnya menawarkan cendawan sisir yang lebih bersih tanpa ada kulit kayu yang melekat, 100 peratus organik dan bebas daripada sebarang racun.

Anak benih pula diambil dari seorang pengusaha di Negeri Sembilan dan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM).


NOR Arif menunjukkan cendawan sisir yang baru dituai tanpa dileraikan.

Katanya, proses yang dijalankan untuk cendawan sisir sama dengan tanaman cendawan tiram cuma pengeluaran hasilnya saja yang berbeza.

“Cendawan tiram boleh mengeluarkan hasil hingga lapan kali, namun cendawan sisir hanya dua kali saja, malah pengurusan tanamannya juga agak rumit. Dua tanaman ini tidak boleh berada dalam satu ‘rumah bongkah’ yang sama.

“Ini kerana spora cendawan sisir kuat dan akan mematikan cendawan tiram. Sebelum ini pernah pembenihan dua cendawan dilakukan di tempat sama, biarpun dalam jarak masa seminggu dan sudah dibersihkan, namun cendawan tiram tidak hidup.

Nor Arif berkata, untuk bancuhan beg media juga biarpun menggunakan bahan asas yang sama namun nisbahnya berbeza dan nisbah bahan makanan cendawan sisir lebih daripada tiram.

Katanya, hingga kini dia sudah mempunyai 2,000 bongkah dan setiap 1,000 bongkah mengeluarkan 15 kilogram (kg) untuk tuaian pertama sementara tuaian kedua 10kg.

“Selepas sebulan diperam beg media akan ditoreh dan dalam masa seminggu sudah boleh dikutip hasilnya namun cendawan ini hanya mengeluarkan hasil sebanyak dua kali saja.

“Hasil kedua dikeluarkan selepas lebih kurang seminggu hasil pertama, namun ia agak kecil berbanding hasil keluaran pertama,” katanya yang bermula dengan 1,000 bongkah.

Beliau berkata, dia berhasrat mahu meluaskan usahanya itu dan bercadang untuk berpindah ke lokasi lain bagi tanaman cendawan sisir kerana ia mempunyai potensi yang tinggi selain pulangan lumayan.

Sementara itu, Norizan berkata, hasil cariannya mendapati tanaman itu mempunyai pelbagai khasiat seperti mengandungi ‘schizophyllan’ iaitu antibarah.

“Cendawan ini juga dapat meningkatkan tahap imun badan dan sebagai antibakteria dan parasit selain berupaya melindungi hati.

Menurutnya, ketika ini pasaran mereka hanya di Perak Tengah dengan hasil itu dijual sendiri dan kini giat memperkenalkannya kerana segelintir orang ramai tidak tahu cendawan itu boleh ditanam secara komersial.

“Ketika mula-mula jual cendawan ini saya biarkan seketul-seketul kerana mahukan kelainan namun bentuknya yang unik itu menjadikan orang ramai takut untuk beli, malah ada menyangkakan ia adalah bunga atau ulat.

“Tapi selepas dileraikan tidak sampai setengah jam habis semua cendawan yang dibawa dan biarpun ia bukan cendawan liar yang tumbuh pada batang pokok namun rasanya tetap sama,” katanya yang menjual cendawan sisir dengan harga RM50 untuk sekilogram manakala RM5 untuk 100 gram dalam satu pek.


BAHAN asas beg media adalah habuk kayu, kapur pertanian, dedak padi dan air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:32 AM