BERAS UKMRC9 dapat membantu mengurangkan kenaikan gula dalam darah selepas dimakan.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus unggul menghasilkan varieti beras merah iaitu beras Primera atau UKMRC9 yang mempunyai nilai indeks glisemik (GI) rendah iaitu membantu mengurangkan kenaikan gula dalam darah selepas makan.

Beras berkenaan sesuai dimakan semua golongan terutama pesakit kencing manis kerana mengandungi antosianin dalam UKMRC9 iaitu sumber baik antioksida.

Penyelidikan varieti itu dibangunkan beberapa ahli sains UKM dengan kerjasama penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Usaha penyelidikan varieti padi itu dilaksanakan bekas penyelidik Bahagian Genetik Tumbuhan dan Bioteknologi dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Wickneswari Ratnam.

Menurutnya, UKMRC9 adalah rendah GI kerana mempunyai nilai GI 46 iaitu makanan rendah yang mencerna dan memberi tenaga dengan perlahan serta stabil.

“Kita berasa kenyang dan tidak lapar dengan cepat selepas makan beras ini. Makanan tinggi GI dapat mengurangkan kandungan gula dalam darah dengan cepat selepas memakannya.

“Antioksida mampu menentang radikal bebas dalam badan kita. Beras ini secara semula jadi membekalkan antosianin iaitu sejenis antioksida yang menurunkan risiko penyakit kardiovaskular apabila memakannya.

“Antosianin mengurangkan pembentukan blok dalam saluran darah jantung lalu mengurangkan risiko mendapat aterosklerosis,” katanya yang juga Pengarah Urusan Nomatech Sdn Bhd.

Prof Wickneswari berkata, beras merah UKMRC9 adalah hasil kacukan biak baka membabitkan kultivar padi moden Malaysia jenis MR219 yang diusahakan kebanyakan petani di negara ini dalam penghasilan beras putih.

“Ia kemudian dikacukkan dengan padi liar tempatan jenis Oryza rufipogon. Padi jenis ini tumbuh meliar di beberapa kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Selepas pendebungaan terkawal ini, proses kacukan balik dilakukan. Dari 260 anak pokok yang diperoleh, lima membawa ciri-ciri kemerah-merahan dan selebihnya berwarna putih.

“Ciri merah ini berasal daripada padi liar yang bersekam hitam dan isinya perang. Kacukan kedua kemudian dilakukan dengan padi moden bagi mengurangkan kesan negatif padi liar,” katanya.

Katanya, meskipun matlamat asalnya meningkatkan pengeluaran padi negara, penyelidikan bermula pada 2002 itu berjaya menghasilkan sejenis beras merah sesuai untuk penghidap kencing manis.

“Kami sudah menguji nasi yang dihasilkan daripada beras baru ini dan didapati proses penghadamannya agak perlahan. Ia tahan lama dalam usus dan kita tidak akan mengalami peningkatan mendadak paras glukos.

“Pada mulanya terdapat 260 anak pokok yang menunjukkan ciri-ciri berlainan dari segi genetik dan bentuknya dipilih.

“Penilaian pertama dilakukan terhadap anak pokok yang ditanam di Seberang Perai, Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, sebanyak 100 anak pokok melalui proses pemilihan kedua,” katanya.

Ciri padi UKMRC9

• Sederhana tinggi

• Mampu tumbuh dalam tempoh 125 hari

• Mampu mengeluarkan hasil beras yang tinggi iaitu 5.5 tan bagi setiap hektar

Ciri biokimia UKMRC9

• Mempunyai fenolik yang tinggi

• Kandungan amilosa sekitar 19 hingga 20 peratus

• Sumber antioksidan yang tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 12:26 PM