DR Zuraida (kanan) dan pembantu makmal, Ayu Nazreena Othman menunjukkan teknologi kultur tisu kunyit hitam.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Teknologi kultur tisu adalah satu pendekatan untuk membiakkan bahan tanaman secara aseptik di dalam medium.

Ia biasanya akan ditumpukan kepada tanaman yang mempunyai nilai ekonomi tinggi dan prospek cerah pada skala komersial.

Satu pendekatan diambil untuk menghasilkan tanaman dengan lebih cepat. Kaedah ini mampu memenuhi permintaan pasaran selain menguntungkan petani yang ingin mengusahakan projek penanaman berskala besar.

Kunyit hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora adalah sejenis tanaman cekur bernilai tinggi dan digunakan secara tradisional dibiakkan melalui kaedah kultur tisu.

Proses menghasilkan anak benih kunyit hitam menggunakan kaedah kultur tisu ini dibangunkan Pegawai Penyelidik, Program Agri-Omik dan Bioinformatik, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Dr Zuraida Ab Rahman.


RIZOM kunyit hitam bagi menghasilkan kultur tisu.

Menurutnya, tidak ramai yang mengetahui khasiat dan kebaikan kunyit hitam. Secara saintifiknya, khasiat kunyit hitam yang berwarna ungu kehitaman sudah dibuktikan melalui kajian yang dilaporkan di dalam beberapa jurnal.

Namun katanya, kekurangan bahan tanaman ini di Malaysia menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan antara faktor utama kunyit hitam tidak popular seperti tanaman lain.


PEMILIHAN mata tunas.

“Malah, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia masih tidak menghasilkan produk berasaskan tanaman kunyit hitam walaupun banyak institusi penyelidikan serta universiti yang mengetahui potensi besar tanaman ini.

“Kesukaran untuk mendapatkan rizom sebagai bahan utama dalam penghasilan produk antara masalah utama. Harga rizom yang terlalu mahal menyukarkan pengusaha industri herba untuk mengeksploitasi dan memperkenalkan tanaman ini dalam pasaran industri herba.

“Walaupun permintaan produk herba terus meningkat kebelakangan ini, penghasilan produk berasaskan kunyit hitam masih dipandang sepi berikutan kekurangan bahan tanaman untuk penghasilan secara berskala besar,” katanya di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini.


PENGHASILAN pucuk pemula di atas medium yang mengandungi hormon beserta kaedah pensterilan yang optimum.

Dr Zuraida berkata, peluang ini membolehkan MARDI membangunkan tanaman kunyit hitam ini melalui kaedah kultur tisu bagi memperbanyakkan anak benih yang perlu dieksploitasikan dengan kadar segera.

“Produk berasaskan kunyit hitam ini boleh diguna pakai dalam bentuk makanan kesihatan, makanan tambahan herba, campuran produk bersama kopi, kosmetik dan farmaseutikal.


PENGHASILAN anak benih kunyit hitam pada kadar yang tinggi dan sedia untuk dipindah ke beg semaian.

“Kajian kunyit hitam ini mendapati ia mempunyai ciri-ciri antiradang, antigastrik dan antiobesiti. Teknik kultur tisu tumbuhan sudah lama diterima dan diguna pakai untuk pembiakan mikro pelbagai jenis tumbuhan serta tanaman.

“Teknologi kultur tisu ini menghasilkan bahan tanaman dalam skala yang besar dan tempoh singkat. Teknologi ini berjaya menghasilkan lebih 3,000 anak benih pokok daripada satu pokok tunggal berbanding kaedah konvensional yang hanya menghasilkan 15 hingga 20 anak benih,” katanya.


ANAK pokok kunyit hitam yang menggunakan kaedah kultur tisu.

Katanya, teknologi ini salah satu proses penghasilan anak benih kunyit hitam dalam kuantiti yang banyak. Dalam kaedah ini, bahagian spesifik tunas yang berpotensi untuk menjana semula sudah dipilih.

“Teknologi ini juga menggunakan teknik pensterilan khusus untuk penghasilan bahan pemula berkualiti dan dikultur secara efektif dalam medium pertumbuhan yang diubah suai untuk menghasilkan anak benih kunyit hitam secara kultur tisu.


DR Zuraida menunjukkan sebahagian produk berasaskan kunyit hitam yang dihasilkan MARDI.

“Proses tapisan dan pemilihan tunas baru daripada pokok induk dibuat pada usia tertentu tunas berkenaan. Kaedah dijana melalui teknologi ini mampu menghasilkan klon tumbuhan yang subur dalam kuantiti besar untuk peringkat komersial yang boleh digunakan dalam industri herba.

“Proses kultur tisu mengambil masa lapan bulan hingga setahun sebelum dipindahkan dalam beg semaian. Tempoh matang bagi pokok ini mengambil masa sehingga 10 bulan dalam memastikan bahan aktif

di dalam kunyit hitam pada paras tertinggi,” katanya.


KUNYIT hitam boleh menghasilkan produk kesihatan dan kosmetik.

Info

• Tumbuhan herba daripada kumpulan keluarga Zingiberaceae.

• Nama saintifik: Kaempferia parviflora

• Ciri-ciri botani: Tumbuhan dwitahunan dengan rizom di bawah tanah. Berwarna hitam ungu dan kepekatan warna bergantung kepada tanah. Parviflora, memutuskan bahawa ciri-cirinya adalah hitam ungu.

• Khasiat kunyit hitam

a. Peningkatan tenaga

b. Meningkatkan kekuatan otot

c. Diperkaya dengan antioksidan

d. Membantu rawatan resdung tahap kronik, alahan dan kegatalan

e. Antigastrik/ ulser

f. Merangsang penghadaman dan mengelakkan sembelit serta buasir

g. Rangsangan prestasi seksual (wanita) dan menopaus

h. Mencegah masalah obesiti dan diabetes

i. Membantu rawatan migrain dan sakit kepala

j. Mencegah penyakit kardiovaskular (strok dan jantung), peningkatan peredaran darah

k. Antibarah

l. Membantu meningkatkan prestasi seksual dan tenaga fizikal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 12:50 PM