ARIFF Farhan (kanan) gagal patuhi arahan Kim Swee.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kehilangan tonggak pertahanan Kedah Muhd Ariff Farhan Mat Isa dari radar skuad bawah 22 tahun negara (B-22) menimbulkan rasa kurang senang pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee yang membayangkan kemungkinan terpaksa menggugurkan pemain berkenaan.

Ariff Farhan, 20, yang mengalami kecederaan ketika menjalani latihan pusat skuad negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa disisihkan daripada kunjungan skuad B-22 ke China sebelum ini.

Namun, dia dan beberapa pemain lain diarahkan untuk kekal berada di Wisma FAM bagi menjalani proses pemulihan tetapi Ariff Farhan difahamkan gagal menuruti arahan itu.

“Saya akan lihat semula keadaannya. Dilaporkan dia tak hadir proses pemulihan seperti pemain lain yang saya arahkan sebelum kami bertolak ke China.

“Ini perkara serius, saya harap mereka ada alasan kukuh,” katanya kepada Arena Metro sebaik pulang dari siri jelajah China yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee turut mengaku sudah menemui kesebelasan utama sepanjang siri jelajah itu yang akan dipertaruhkan dalam dua kejohanan penting iaitu Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 bermula pertengahan Julai ini serta Sukan SEA pada Ogos depan.

“Ikutkan ia masih terlalu awal untuk saya tetapi secara asasnya saya sudah menemui bayangan pasukan utama hasil daripada penilaian dalam tiga aksi persahabatan di China.

“Hanya beberapa posisi saya masih perlu menilai semula kerana selepas ini saya akan memanggil beberapa pemain lain untuk dicuba,” katanya.

Dalam tiga aksi persahabatan di China itu, skuad kendalian Kim Swee berjaya meraih satu kemenangan ke atas pasukan Guangzhou Evergrande menerusi keputusan 3-0.

Kemenangan bergaya itu adalah yang pertama daripada tiga aksi persahabatan diatur apabila terdahulu tewas tipis 0-1 kepada pasukan B-22 China dan diikat 2-2 ketika berdepan skuad simpanan Guangzhou R&F FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 4:58 AM