MISBUN Sidek. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

BEKAS pemain kebangsaan yang dipilih menjadi jurulatih kebangsaan perlu diberi pendedahan di peringkat lebih rendah bagi memantapkan pengalaman dan kemahiran, kata ketua jurulatih perseorangan badminton negara Datuk Misbun Sidek.

Beliau berkata, mereka perlu diberi pendedahan seperti murid di sekolah sukan sebelum berkhidmat dengan skuad kebangsaan kerana pengalaman lalu akan memberi impak besar terhadap apa yang akan mereka berikan kepada pemain negara.

"Kalau bekas atlet kebangsaan ini tiba-tiba ada di atas (menjadi jurulatih), mereka nak kawal atlet kebangsaan ini untuk sesuatu teknik, nanti pemain itu akan rasa, dia (jurulatih) pun tak pernah menang...ini sebenarnya yang susah," katanya kepada pemberita di Lumut, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai bekas perseorangan badminton negara Muhammad Hafiz Hashim dijangka menyertai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelang September ini.

Terdahulu, beliau berbuka puasa bersama anak yatim piatu anjuran Gifted Community dan Komuniti I love Manjung (KILM) di Syarikat Setia Awan Holdings Sdn Bhd di Lumut.

Misbun adalah duta bagi projek baharu syarikat perumahan tersebut di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP), yang mana sebuah dewan diberi nama Dewan Badminton Datuk Dr Hj Misbun Sidek akan didirikan di bandar itu sebagai pusat bagi melahirkan pemain badminton baharu.

Mengulas mengenai kekalahan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei pada pusingan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Jumaat lalu, Misbun berkata, beliau melihat kekalahan tersebut dari sudut positif dan tidak akan mengganggu misi untuk memenangi Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti.


MISBUN bertanggungjawab mengembangkan bakat Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, pingat perak Sukan Olimpik dan kejuaraan All England. FOTO arkib NSTP

"Chong Wei sebenarnya tidak tahu dia adalah sasaran utama dan mereka (pemain lain) tahu kelemahan dan corak permainan dia, jadi dia perlu sedar mengenai perkara itu.

Mungkin dia juga keliru dengan corak permainan dia dengan jurulatih-jurulatih berbeza sebelum ini," katanya.

Sehingga kini, Misbun menjangkakan usaha melahirkan pemain badminton kebangsaan setanding Datuk Lee Chong Wei akan mengambil masa 10 ke 20 tahun lagi berikutan tiada pelapis negara yang mampu menandingi pemain berumur 34 tahun itu.

"Ini terjadi pada semua negara. Contohnya, Indonesia juga masih gagal mencari pengganti Taufik Hidayat, Thailand juga gagal mencari pengganti Boonsak Ponsana, manakala Denmark setidak-tidaknya Peter Gade digantikan Victor Axelsen.

"Perancangan jangka masa panjang sangat penting maka sebab itu apabila gabungan persatuan melihat pada pembangunan junior remaja, itu adalah amat penting, kalau tidak setakat itu sahaja," katanya yang bakal memulakan kariernya sebagai ketua jurulatih perseorangan negara semula, awal Julai nanti.

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab mengembangkan bakat jaguh badminton negara, Chong Wei sehingga muncul sebagai pemain perseorangan lelaki pertama memenangi kesemua gelaran Siri Super, dan meraih gelaran berprestij termasuk dua pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.

Namun, beliau meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian pada 2013 atas ''sebab peribadi''.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 3:05 PM