SMOLOV (tengah) melakukan percubaan walaupun dihalang dua pertahanan New Zealand.
AFP

Saint Petersburg, Russia:Tuan rumah Piala Konfederasi, Russia bermula cemerlang kelmarin apabila gol Fedor Smolov pada babak kedua membantu kemenangan 2-0 ke atas New Zealand di Saint Petersburg pada perlawanan pembukaan.

Russia mendahului pada babak pertama aksi Kumpulan A dengan jaringan ke gawang sendiri oleh pertahanan New Zealand Michael Boxall dan Smolov – penjaring terbanyak liga Russia musim lalu memastikan kemenangan pada minit ke-69.

Ia permulaan ideal buat Russia dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Krestovsky yang baru dengan presiden negara itu Vladimir Putin dan Presiden FIFA Gianni Infantino masing-masing memberi ucapan sebelum sepak mula.

Kejohanan itu memberi ruang kepada Russia untuk membuktikan kesediaannya menganjurkan Piala Dunia 2018 biarpun wujud kebimbangan mengenai samseng bola sepak dan keselamatan.

Namun ia juga peluang buat jurulatih Stanislav Cherchesov dan pasukannya membuktikan apa yang mampu dilakukan mereka di padang, biarpun bakal berdepan ujian lebih getir dalam dua perlawanan berikutnya berbanding New Zealand.

“Saya sukakan pasukan New Zealand tapi kami bernasib baik dapat menghalang kehebatan mereka dan menunjukkan kekuatan dan itulah kunci kemenangan kami malam ini,” kata Cherchesov.

Percubaan Smolov terdahulu dibatalkan kerana ofsaid sebelum gol pembukaan hadir selepas setengah jam.

Alexander Yerokhin memulakan serangan dengan memintas bola 30 ela daripada gawang dan hantarannya dibantu Poloz singgah di kaki Denis Glushakov.

Pemain tengah Spartak Moscow itu cuba melambungkan bola melepasi penjaga gol Stefan Marinovic dan percubaannya terkena palang sebelum Boxall, salah seorang daripada dua pertahanan yang terdesak cuba mengeluarkan bola sebaliknya tertolak bola melepasi garisan gol.

“Saya fikir saya yang menjaringkan gol pembukaan tapi tidak kisah siapa yang mendapat pujian,” kata Glushakov. “Apa yang penting kami mendahului perlawanan.

“Kami mampu bermain lebih baik berbanding apa yang kami tunjukkan hari ini dan melakukan pelbagai kesilapan. Ini bermakna masih banyak tugas yang perlu dilaksanakan.”

Russia menggandakan jaringan ketika perlawanan berbaki 20 minit apabila Smolov mengumpan kepada Alexander Samedov di bahagian kanan sebelum berlari di kawasan yang tidak dikawal untuk menyempurnakan hantaran rakan sepasukannya.

“Jelas sekali dalam perlawanan pertama kejohanan ini, kami mahukan keputusan lebih baik daripada ini,” kata pengurus New Zealand Anthony Hudson.

“Kami kecewa tapi pasukan mempamerkan semangat tinggi.” AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 11:45 AM