STEPHEN (tengah) menerangkan sesuatu kepada pemainnya.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Memang susah terima kenyataan kekalahan seperti ini.”

Demikian nada kecewa pengendali skuad hoki negara Stephen Van Huizen yang menyaksikan anak buahnya dibelasah 3-7 oleh England pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A, Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London kelmarin yang juga kempen kelayakan untuk Piala Dunia 2018.

Bukan bercita-cita mengharapkan kemenangan bertemu pasukan tuan rumah, sebaliknya Stephen menegaskan pemainnya tidak sepatutnya melepaskan terlalu banyak gol yang mungkin akan memberi kesan besar untuk penentuan ke suku akhir menerusi kiraan perbezaan jaringan.

“Benda sudah berlaku dan sekarang kami tak boleh buat apa-apa. Kami tahu dua perlawanan awal dengan Argentina dan England amat sukar.

“Tapi saya tak menjangkakan kami kalah dengan jumlah jaringan yang besar. Jika main dengan struktur yang betul, kami tidak akan mengalami kekalahan seperti ini,” katanya merujuk kepada aksi skuad negara yang tewas besar juga kepada Argentina 2-5 pada perlawanan pertama.

Justeru itu, Stephen menegaskan baki pertemuan peringkat kumpulan dengan Korea Selatan dan China adalah umpama final kerana ia akan menentukan hidup mati skuad negara sama ada mampu mara ke suku akhir yang sekali gus mencerahkan peluang layak ke Piala Dunia 2018.

“Kami sedar sekarang dua perlawanan bertemu Korea dan China umpama final.

“Setiap mata dan jaringan ketika ini amat penting. Kami akan mengkaji ulang tayang video dan melihat apakah kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Memang tugas besar menanti pemain dalam kedua-dua perlawanan ini,” katanya.

Skuad negara akan bertemu Korea Selatan awal pagi esok diikuti pertemuan terakhir dengan China keesokannya.

Situasi agak sukar untuk skuad negara ketika ini apabila menghuni tangga tercorot peringkat kumpulan selain China yang dilabel pasukan paling lemah dan diramal tidak mampu mara ke suku akhir, melakukan kejutan dengan menewaskan Korea Selatan 5-2 kelmarin.

Pada perlawanan di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley kelmarin, England meraih gol menerusi Barry Middleton (m-5 dan 34), Christopher Griffiths (m-8), Sam Ward (m-32 dan 51) serta Mark Gleghorne (m-39 dan 55).

Malaysian Tigers mendapat gol menerusi Faizal Saari (m-19 dan 57) dan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil (m-28).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 11:49 AM