TRAISY (kiri) semakin membara hadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.
myMetro

Kuala Lumpur: Atlet negara Traisy Vivien Tukiet kini kembali menguasai pentas terjun apabila merangkul gangsa dalam acara 10 meter platform pada Kejohanan Terjun Piala Asia di Macau, semalam.

Terdahulu dia yang bergandingan bersama Leong Mun Yee menghadiahkan perak dalam acara 10m terjun seirama.

Traisy yang pernah beraksi di Olimpik London kembali menemui suntuhan dan dua pingat yang diraih di Macau menyuntik semula keyakinan dalam dirinya untuk berjuang merebut tempat dalam skuad negara menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos ini.

Gembira dengan prestasinya, Traisy berkata, perasaan gementar ketika beraksi itu tetap ada namun sokongan dan dorongan daripada rakan menjadi pemangkin semangat buat dirinya.

“Masa terjun itu memang saya akui sedikit takut sebab sudah lama tidak menyertai pertandingan kompetitif dan melakukan terjunan untuk pertandingan.

“Malah lebih membuatkan saya gementar, saya mula untuk pertandingan ini dalam tempoh dua bulan ini saja ketika menjalani latihan di China.

“Apapun saya gembira dapat menghadiahkan pingat buat negara dan pastinya akan cuba melakukan yang terbaik lagi selepas ini,” katanya.

Dalam acara 10m platform, Traisy yang mengumpul 292.45 mata berada tempat ketiga di belakang dua penerjun China, Liu Xin (381.10) dan Zhang Rui (335.80).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 11:52 AM