Skuad Kelantan lonjak ke tangga kelima. FOTO TRWFC
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapat perkhabaran gembira apabila Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) hari ini membuat keputusan mengurangkan hukuman pemotongan enam mata kepada tiga mata dalam saingan Liga Super.

Keputusan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu dibuat selepas menerima rayuan KAFA yang menyatakan usaha mereka untuk melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran untuk hutang-hutang tertunggak.

Bagaimanapun permintaan KAFA untuk mendaftarkan pemain import Syedi L Imam tidak diterima FMLLP kerana mereka gagal memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran untuk sekatan perpindahan dimansuhkan.

KAFA pada 2 Mei lalu dijatuhkan hukuman pemotongan enam mata serta dikenakan sekatan perpindahan pemain pada tempoh pendaftaran pemain kedua Liga-M kerana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan tahun ini berikutan masih tidak melangsaikan tunggakan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Namun dengan pengurangan hukuman pemotongan mata itu, skuad The Red Warriors yang sebelum ini menduduki tangga kelapan Liga Super melonjak ke tangga kelima dengan mengumpul 17 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 5:23 PM