POAD (kanan) tidak mahu anak buahnya terdedah dengan gangguan luar.

Kuala Lumpur: Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim tetap bertegas untuk terus kekal melatih anak buahnya di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Biarpun pelari pecut negara diminta berkampung sementara waktu di Bukit Jalil sebagai persiapan menjelang temasya dwitahunan itu Poad berkata, adalah lebih baik beliau bersama anak didiknya kekal di SSTMI.

Katanya, keputusan itu adalah untuk kebaikan bersama supaya atlet bimbingannya kekal fokus.

“Memang ada jemputan untuk berkampung di Bukit Jalil. Tapi saya rasa lebih baik kami kekal berlatih di SSTMI.

“Atlet lebih fokus dan mudah untuk mengawal mereka daripada gangguan luar,” katanya yang mengambil iktibar latihan selama dua minggu di Baguio, Filipina jelas membuahkan hasil.

Sementara itu mengulas mengenai pencapaian atlet pecut negara di Terbuka Thailand, beliau nyata berpuas hati apabila Khairul Hafiz Jantan bersama rakannya kembali menemui rentak.

Khairul berjaya melakar catatan masa terbaik tahun ini 10.31 saat manakala Badrul Hisyam Manap turut cemerlang dalam acara 400m biarpun tidak dapat beraksi dalam acara riben biru itu kerana faktor keletihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 5:40 AM