Oh-SON (kiri) yakin skuad bimbingannya mampu kejutkan lawan. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) Brunei Kwon Oh-son percaya kehadiran mereka dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bukan lagi sekadar penyertaan semata-mata.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu berkata, mereka sudah membuat persiapan rapi kali ini dan semua pemain tidak sabar untuk memberikan tentangan dalam aksi pembukaan menentang pasukan tuan rumah, Malaysia di Stadium Shah Alam, esok.

“Kami sudah membuat persiapan yang cukup baik dan kami tidak ada masalah di sini, cuaca juga lebih kurang sama. Pemain saya amat mahukan kemenangan, jadi kami akan cuba memberikan aksi terbaik dalam saingan peringkat kumpulan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Brunei hanya sekali melepasi halangan peringkat kumpulan pada Sukan SEA Singapura 1983 namun mereka dibelasah oleh Malaysia 5-0.

Malah mereka juga tewas 0-2 kepada skuad muda negara dua tahun lalu di Singapura dan menamatkan kempen Kumpulan B di tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan.

Bagaimanapun Oh-son mengakui anak buahnya sudah mendapat pendedahan termasuk pada aksi kelayakan AFC B-23 di Myanmar, bulan lalu, di mana mereka berjaya memberi saingan ketika kalah 0-2 dengan Australia, Myanmar (0-3), Singapura (1-4).

“Saya dapat menilai kemampuan pemain ketika saingan kelayakan AFC sebelum ini. Kami juga sudah menguji kekuatan dengan Myanmar dan Singapura, jadi ini adalah persiapan terbaik kami sebelum Sukan SEA,” katanya.

Untuk mencipta kejutan kali ini, Oh-son pasti mempertaruhkan sentuhan anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefri Bolqiah yang memiliki pengalaman bersama skuad remaja kelab Inggeris, Leicester City dan turut tampil di Sukan SEA Singapura 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 3:24 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »