KIM SWEE (kiri) beri arahan kepada pemain semasa sesi latihan di Padang Latihan Sime Darby. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


TIGA mata penuh seharusnya menjadi milik skuad bawah 22 tahun (B-22) negara apabila mereka turun pada aksi pertama Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, esok.

Selain tidak mahu anak buahnya mengambil mudah, jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya supaya tidak buat ‘hal’ di dalam padang supaya insiden dua tahun lalu di Singapura tidak berulang.

Pada Sukan SEA 2015, Malaysia bergelut untuk menundukkan pasukan kerdil Timor Leste dalam perlawanan pertama selepas dikerah beraksi dengan 10 pemain hampir sejam apabila pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah kerana meludah pemain lawan.

Gara-gara tindakan itu, Nazmi digantung enam perlawanan dan terus dihantar pulang sekali gus menyebabkan Kim Swee kehilangan seorang pemain bagi mengharungi baki saingan peringkat Kumpulan B.

“Pada kelayakan AFC (B-23) di Bangkok, pemain hanya mendapat dua kad kuning, ini menunjukkan pemain kita semakin berdisiplin dan saya harap perkara ini berterusan tapi kita tak boleh jangka apa yang akan berlaku di dalam padang.

“Saya tak nak lagi perkara atau insiden yang sama berlaku seperti di Singapura yang menjejaskan kekuatan kita dari segi pemilihan pemain,” katanya.

Malaysia tidak ada masalah menewaskan Brunei 2-0 dalam saingan Kumpulan B di Singapura namun mereka gagal mara ke separuh akhir apabila hanya menamatkan kempen di tangga ketiga di belakang Thailand dan Vietnam.

Kim Swee berjaya membimbing pasukan juara pada 2011 di Jakarta namun gagal dalam dua edisi seterusnya di Myanmar dan Singapura namun beliau percaya semangat anak buahnya agak berbeza apabila beraksi di depan penyokong sendiri.

“Perlawanan dengan Brunei bukan mudah seperti yang kita lalui ketika menewaskan mereka pada edisi sebelum ini. Saya tidak boleh pilih pasukan mana yang paling sukar kerana kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan kerana semua pasukan buat persediaan rapi.

“Sebagai pasukan tuan rumah, sudah pasti kami mahu layak beraksi ke final,” katanya.

Selain Brunei, skuad B-22 negara akan berdepan Singapura, Myanmar dan Laos dalam mencari tiket ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:08 PM