CHUN Yong (kiri) beri arahan kepada pemain. -Foto fail
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my


MESKIPUN kehilangan seorang tonggak yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, namun pengendali skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong yakin dia kini memiliki 16 pemain terbaik bagi mengharungi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Katanya, kehilangan Saiful Nizam Mohamad Ali agak menjejaskan perancangan memandangkan dia adalah nadi pasukan.

Bagaimanapun dia tetap gembira selepas khidmat seorang lagi pemain utama yang cedera sebelum ini, Akmarulnizam Mohd Idris dapat digunakan pada temasya Sukan SEA.

“Saya akui Saiful memainkan watak penting buat skuad futsal negara namun futsal adalah permainan berpasukan dan saya sudah mencari pengganti yang memiliki kebolehan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Saiful.

“Setidak-tidaknya saya lega apabila Akmarulnizam berjaya pulih sepenuhnya dan khidmatnya dapat digunakan. Apapun saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemain yang sudah dipilih dan kami sudah bersedia untuk memberi cabaran pada temasya kali ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Saiful Nizam yang mengalami kecederaan sehingga terpaksa diketepikan daripada jelajah Bangkok sebelum ini digantikan dengan rakan sepasukannya dalam skuad Melaka, Mohd Firdaus Ambiah.

Dalam masa sama, Chun Yong menyifatkan dua aksi persahabatan bertemu Mongolia yang menjadi medan pemanas badan terakhir sebagai peluang keemasan untuknya meneliti setiap kelemahan pasukan sebelum menghadapi Sukan SEA.

“Apa yang saya mahu lihat dalam dua aksi persahabatan ini adalah daripada segi taktikal terutamanya ketika kami melakukan serangan selain aspek teknikal yang turut dititikberatkan.

“Kita juga menguji beberapa strategi yang dirasakan terbaik untuk diterapkan ketika perlawanan sebenar.

“Segalanya mengikut perancangan dan saya mengharapkan pemain dapat membawa momentum ini ketika beraksi nanti,” katanya.

Aksi persahabatan pertama yang berlangsung kelmarin menyaksikan anak buah Chun Yong meraih kemenangan 3-1 ke atas Mongolia hasil jaringan Azri Rahman, Ridzwan Bakri serta Khairul Effendy Bahrin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:16 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »