MUHAMAD Fuad (kanan) buru emas pertama Sukan SEA. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PENAMPILAN kali kelima di Sukan SEA sudah cukup untuk mematangkan peninju negara Muhamad Fuad Mohd Redzuan dalam memburu emas pertama bagi dirinya.

Mula menggalas cabaran negara sejak Sukan SEA 2009 ketika berusia 18 tahun, pencapaian terbaik Fuad adalah pada edisi 2013 apabila meraih gangsa.

“Saya memang mengharapkan sesuatu apabila turun di tempat sendiri dan sebolehnya emas kerana sudah lama skuad tinju negara tidak meraih emas di Sukan SEA.

“Saya mahu menaikkan kembali sukan ini. Tinju akan terus dipandang sepi sekiranya kami tidak meraih pencapaian yang positif di Kuala Lumpur,” katanya.

Kali terakhir skuad tinju negara meraih emas adalah pada edisi 2009 di Laos apabila kejutan dilakarkan menerusi Mohd Farkhan Haron dan Mohd Fairus Azwan Abdullah.

Bagaimanapun Fuad sedar laluan dirinya untuk muncul juara dalam kategori 49 kilogram (kg) tidak mudah kerana adanya cabaran juara bertahan dari Indonesia, Kornelis Kwangu Langu dan pemenang perak Rogen Ladon dari Filipina.

“Sebab itu saya berharap tuah undian turut membantu kali ini. Sebagai contoh, Kornelis muncul juara di Singapura dua tahun lalu kerana tuah undian walaupun saya pernah menewaskannya ketika kejohanan luar sebelum Sukan SEA bermula.

“Ia bukan saja mengenai kekuatan namun tuah undian turut memainkan peranan,” katanya.

Selain Fuad, peninju negara yang akan bersaing dalam lima kategori lain ialah Abdul Salam Kasim (52kg), Arfiqanie Ahmad Ansori (56kg), Khir Akyazlan Azmi (64kg), R Indran (75kg) dan Adli Hafidz Mohd Pauzi (81kg).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:01 PM