Jembalang Dengkis Tepok (tengah) bergambar bersama penyokong Kedah di Stadium Shah Alam. -Foto NSTP
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my


KELIBAT seorang penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memakai kostum harimau berkeliaran di Stadium Shah Alam menjelang aksi final Piala Malaysia, malam ini mencuri tumpuan ramai.

Walaupun kostum yang dipakai Ali Mohamad itu menyeramkan, ia tidak menakutkan penyokong JDT dan Kedah yang tidak mahu ketinggalan mengambil gambarnya.

Menurut Ali, inisiatifnya memakai kostum yang diberi nama Jembalang Dengkis Tepok itu sebenarnya hanya untuk menceriakan suasana final yang dianggap pertembungan dua pasukan terbaik di negara ini.

Malah, katanya, walaupun terpaksa pikul kostum yang berat sehingga mencecah lapan kilogram (kg), dia tidak kisah kerana semua yang dilakukan itu untuk JDT.

“Sebenarnya saya sudah lima tahun memakai kostum ini termasuk ketika memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan, saya kekalkan imej begini.

“Kalau ikutkan, bahagian kepala sahaja sudah mencecah 5kg. Sebenarnya setiap tahun saya akan tambah eksesori pada kostum ini.

“Kalau ikutkan, memang panas. Apapun ini cara saya sokong JDT. Apa yang penting, suasana jadi ceria,” katanya.


DUA beradik penyokong Kedah Nur Raihana (kanan) dan Haslinda gembira dengan suasana di Stadium Shah Alam. -Foto NSTP

Sementara itu, penyokong Kedah, Nur Raihana Che Halim, 18, dan kakaknya, Haslinda Che Halim, 30, tidak kisah untuk bersesak dengan ribuan penyokong.

“Setiap kali Kedah beraksi di Lembah Klang, saya tidak pernah ketinggalan ke stadium. Begitu juga kali ini dan saya tidak sabar untuk lihat kejayaan Kedah.

“Saya tiba di stadium pada jam 1.30 petang. Pastinya jika di final, suasana pasti lebih meriah. Sebelum masuk, saya akan pusing di perkarangan stadium untuk melihat sendiri kemeriahan,” kata Nur Raihana yang juga pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).


KELAB Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim bergerak ke Stadium Shah Alam dengan 35 buah bas dari Stadium Larkin. -Foto NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 6:35 PM