PULAU Pinang menjulang Piala Emas Raja-Raja 2017 selepas menewaskan Kelantan pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. FOTO/BERNAMA
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my


KEJAYAAN Pulau Pinang menjuarai Piala Emas Raja-Raja (PERR) kali ke-77 mengatasi Kelantan 2-1 malam tadi adalah hadiah untuk menggembirakan rakyat Pulau Mutiara yang kecewa pasukan negeri mereka terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

Perkara itu diakui Jurulatihnya, Abdul Rahim Hassan yang menganggap kemenangan itu dapat menghilangkan rasa kecewa peminat bola sepaknya selain menamatkan penantian selama 15 tahun.


PENYERANG Pulau Pinang, Muhd Shahrulnizam Anuar (kanan) meraikan gol kemenangan. FOTO/FATHIL ASRI

Katanya, kemenangan itu turut membuktikan Pulau Pinang masih mempunyai nafsu memburu piala dalam sukan itu walaupun pasukan yang beraksi dalam kejohanan PERR kali ini baru dibentuk empat bulan lalu.

“Alhamdulilah, bersyukur dengan kemenangan ini dan sememangnya perlawanan akhir sekali gus menjadi juara sudah lama diidamkan oleh semua rakyat Pulau Pinang.


PEMAIN Kelantan, Muhamad Masri Asyraf (dua dari kiri) diasak pemain Pulau Pinang pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. FOTO/BERNAMA

“Ini semua berhasil atas berkat usaha semua pemain yang memberi komitmen tinggi sepanjang empat bulan walaupun pada awal kejohanan pasukan ini masih lagi tercari-cari rentak permainan,” katanya.

Biarpun beraksi di gelanggang lawan malam tadi, Pulau Pinang mampu menjulang Piala Emas Raja-Raja sekali gus pasukan itu menamatkan penantian selama 15 tahun.


PEMAIN Pulau Pinang, Khairul Iskandar Ismail (tengah) diasak pemain Kelantan. FOTO/BERNAMA

Sementara itu, penolong jurulatih Kelantan, Sakri Hassan berkata pasukannya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri selain menyerap tekanan penyokong tuan rumah yang hadir memberi sokongan.

Bagaimanapun, katanya setiap pemainnya sudah beraksi baik dan cuba sedaya upaya memenanginya cuma nasib belum menyebelahi mereka.

“Kita akui pada awal permainan kita banyak menyerang dan memperoleh peluang awal namun gagal ditafsirkan dengan jaringan.

“Namun semua itu berubah selepas pemainnya dikejutkan dengan gol minit terakhir Pulau Pinang menyebabkan tekanan untuk mereka tetapi kita masih lagi bangkit selepas itu dengan mengikat mereka sehingga membawa ke 120 minit perlawanan.

“Apapun saya menganggap ia bukan rezeki kita dan saya berharap semua pemain tidak berputus asa dan akan terus mencuba lagi dalam kejohanan ini untuk musim akan datang,” katanya.


PASUKAN Pulau Pinang menjulang Piala Emas Raja-Raja 2017 selepas menewaskan Kelantan. FOTO/BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 3:31 PM