PASUKAN Terengganu Hockey Team (THT) Joaqin Menini (kanan) dibantu Ketua Pasukan FITRI Saari (dua, kanan) mengawal bola. Foto fail
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


SELEPAS berdepan dua kekecewaan berturut-turut, pemain tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari berharap dia serta rakan sepasukan lain dapat bangkit semula untuk menewaskan TNB Thunderbolts pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Hoki Batu Buruk, esok.

THT melalui detik malang dalam tempoh seminggu apabila gagal mempertahankan Piala Tan Sri P Alagendra selepas tewas kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) minggu lalu.

Mereka kemudian tewas kepada lawan sama untuk perebutan Piala Sumbangsih semalam dengan kedua-dua perlawanan itu ditentukan menerusi penalti shoot out.

“Kami perlu bangkit semula apabila bertemu TNB Thunderbolts esok sekali gus meraih tiga mata.

“Tapi kami tidak boleh memandang rendah Thunderbolts kerana mereka sudah membuktikan kemampuan dengan menewaskan Maybank pada perlawanan pertama liga,” katanya.

Jelas Fitri, dia serta rakan sepasukannya yang lain perlu segera melupakan kekecewaan itu selain memperbaiki segala kesilapan menjelang pertemuan dengan Thunderbolts.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kami tidak bernasib baik pada kedua-dua pertemuan dengan KLHC.

“Selain itu kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang. Hanya pasukan yang memanfaatkan peluang dengan baik akan memenangi perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:35 PM