BIARPUN belum pulih sepenuhnya Djokovic tetap mahu beraksi di Terbuka Australia. Foto AFP
Reuters

Melbourne: Bekas pemain nombor satu dunia Novak Djokovic mengakui sikunya belum 100 peratus sembuh ketika pemain Serbia itu bersiap sedia kembali ke Terbuka Australia selepas berehat enam bulan.

Juara enam kali itu yang kali terakhir beraksi dalam kejohanan kompetitif di Wimbledon Julai lalu berkata dia masih menangani isu kecederannya yang menyebabkannya terpaksa berehat daripada kejohanan.

“Ia masih belum 100 peratus sembuh,” kata Djokovic di Melbourne Park hari ini.

“Namun ketika ini ia berada di tahap di mana saya mampu bertanding dan setiap hari keadaannya semakin baik.”

Djokovic memberitahu dia yakin dengan nasihat doktor yang dia tidak akan memburukkan tahap kecederaannya dengan beraksi di Melbourne.

“Saya berharap dapat berada pada tahap 100 peratus pada permulaan kejohanan. Saya tidak tahu bagaimana keadaannya selepas itu. Biarpun mungkin 100 peratus pulih selepas enam bulan tidak beraksi, sukar dipastikan kesannya selepas itu,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

“Kita lihat saja nanti. Tidak banyak yang boleh saya lakukan. Saya sudah lakukan apa yang termampu, dengan pasukan di sekeliling saya bagi membolehkan saya berada di depan anda semua dan bertanding untuk Terbuka Australia.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:49 PM