KEITA (tengah) jaring gol menakjubkan ketika menentang Schalke. -Foto Reuters
AFP

BERLIN: Naby Keita menunjukkan kenapa Liverpool mahu mendapatkannya pada perpindahan kali ini dengan menjaringkan gol menakjubkan buat RB Leipzig ketika menang 3-1 dalam saingan Bundesliga mengatasi Schalke awal pagi tadi.

Pemain tengah berusia 22 tahun dari Guinea yang sudah memiliki kontrak dengan Liverpool untuk menyertai mereka musim depan, menunjukkan kehebatan dimilikinya dengan sepakan deras yang memberikan Leipzig gol pendahuluan sebelum tamat babak pertama.

Keputusan itu mengangkat Leipzig ke kedudukan kedua, 13 mata di belakang pendahulu Bayern Munich yang menang 3-1 di Bayer Leverkusen semalam manakala Schalke jatuh ke kedudukan ketiga.

Liverpool dilaporkan mahu membawa Keita ke Merseyside lebih awal selepas kehilangan Philippe Countinho, yang berhijrah ke Barcelona minggu lalu menerusi perpindahan bernilai 160 juta euro (RM776.19 juta).

Bagaimanapun pengarah sukan Leipzig, Ralf Rangnick menegaskan Keita tidak akan meninggalkan kelab itu sehingga penamat musim.

“Kami tahu malangnya pemain itu akan meninggalkan kami pada musim panas dan dia akan bermain bersama kami sehingga penamat musim,” kata Rangnick kepada Sky.

“Itu saja yang boleh saya katakan. Pemain sendiri atau Liverpool juga tidak menghubungi kami berkaitan perkara ini.”

Skuad kendalian Jurgen Klopp, Liverpool bersedia membayar sekitar 70 juta euro (RM339.58 juta) buat pemain tengah itu namun laporan mengatakan mereka boleh membayar tambahan 15 juta euro (RM72.77 juta) supaya Keita boleh menyertai mereka lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:06 AM