ZAHARIAH (dua dari kiri) meneliti jentera pelumba negara Adam Norrodin. FOTO/BERNAMA
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my

SYARIKAT petroleum negara, PETRONAS tidak menolak kemungkinan untuk kembali menjadi penaja utama pasukan Moto2 negara, SIC Racing musim depan.

Sebelum ini, PETRONAS pernah menyatakan bahawa mereka akan muncul selaku penaja utama kedua-dua pasukan namun mengambil keputusan saat akhir untuk hanya menaja pasukan Moto3 yang dilihat sebagai langkah tepat bagi membangunkan bakat baru.

Susulan itu, ia sekali gus menamatkan hubungan kerjasama hampir lapan tahun antara pelumba Moto2 yang juga dari Program Pembangunan Bakat PETRONAS, Hafizh Syahrin Abdullah dan juga gergasi petroleum negara itu.

Namun, dengan penyertaan Hafizh dalam saingan kelas perdana, MotoGP musim ini, kerusi di SIC Racing kini diisi Zulfahmi Khairuddin dan PETRONAS tampak tidak menolak kemungkinan untuk kembali berada di bawah satu bumbung bersama SIC dalam saingan Moto2 2019.

“Tugas kami adalah untuk membangunkan bakat muda ini,” kata Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategik PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman kepada media selepas majlis memperkenalkan pasukan PETRONAS Sprinta Racing, hari ini.

“Ia sebenarnya sebahagian daripada program pembangunan bakat kami. Kami menyerahkan tugas ini kepada pakar yang menguruskan pasukan yang ditaja kami iaitu SIC.

“Program pembangunan bakat kami amat berjaya dan sebagai contohnya, Hafizh Syahrin. Sekarang, kami bergerak di peringkat akar umbi dan harapan kami adalah untuk menolong dan memberi suntikan kepada bakat baharu supaya mereka lebih berjaya dan kami akan meneruskan program pembangunan bakat ini.

“Hasrat kami adalah sehingga ke MotoGP... daripada bawah sampailah ke atas.”

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan menambah: “Apa yang terjadi adalah pada saat akhir. Jadi sukar untuk mengubah perancangan masing-masing.

“Kami akan lihat apa yang dilakukan tahun ini dan Insya Allah, akan ada perbincangan terbuka (mengenai tajaan PETRONAS) untuk 2019.

“Seperti yang dikatakan tadi, PETRONAS dan SIC perlu melihat kepada pembangunan bakat muda. Sekarang ini, kita sudah mempunyai pelumba namun pelapis boleh dikatakan masih kurang setakat ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 8:22 PM