VAN Huizen (dua dari kanan) mahu anak buah lebih bersedia tahun ini.
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my

SKUAD hoki lelaki negara perlu berhati-hati dan tidak terperangkap dengan kejayaan tahun lalu apabila kempen pasukan pada 2018 dijangka lebih mencabar berbanding sebelumnya.

Ia berdasarkan pencapaian cukup cemerlang tahun lalu apabila Malaysian Tigers memenangi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Dhaka, meraih tempat keempat Separuh Akhir WHL (London), pingat emas Sukan SEA dan naib juara Piala Asia.

Jadi, tidak mustahil pada tahun ini pencabar Malaysia akan membuat persiapan lebih rapi untuk menundukkan anak-anak buah Stephen Van Huizen terutama menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 yang menyingkap tirainya 3 Mac depan.

“Tahun lalu adalah tahun yang cemerlang untuk Malaysia apabila kita memenangi beberapa kejohanan dan turut melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 secara automatik menerusi tiket WHL.

“Apapun mereka (pemain) tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan ini kerana seperti biasa apabila sesebuah pasukan yang mendapat keputusan baik pastinya akan mula dipandang dan diberi perhatian.

“Tahun lalu mungkin semua lawan tidak begitu bersedia untuk kita tetapi saya pasti tahun ini mereka pasti mahu tumbangkan dan lebih bersedia apabila berdepan Malaysia

“Saya berharap pemain akan berusaha keras dan meneruskan rentak ini pada 2018,” kata Stephen selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel, Huang Ying How yang melawat latihan pasukan negara hari ini.

Selepas tiga bulan tanpa kejohanan, kalendar padat kembali menanti skuad negara pada tahun ini bermula dengan PSAS (Mac), Sukan Komanwel (April), Jelajah Argentina (Mei), Lima Siri Ujian menentang Australia (Jun), Sukan Asia (Ogos), Trofi Juara-Juara Asia (Oktober) dan Piala Dunia (Disember).

Keputusan cemerlang tahun lalu juga meletakkan Malaysia dalam peta utama hoki dunia yang terbukti apabila Stephen mengesahkan juara Olimpik Argentina bersedia berentap bersama pasukannya dalam aksi pemanas badan di Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Februari sebelum bertolak ke Ipoh.

Malah, 27 barisan pelatih negara jelas kelihatan bersemangat pada sesi latihan yang kembali bersambung minggu ini selepas berakhirnya saingan Liga Hoki Malaysia 2018 Sabtu lalu.

Pengendali berusia 58 tahun itu bagaimanapun enggan meletakkan tekanan tinggi kepada pemainnya menjelang saingan PSAS apabila sedar Malaysia berkedudukan ranking terendah dalam kalangan enam pasukan yang mengambil bahagian.

“Liga Hoki Malaysia baharu melabuhkan tirainya, jadi sudah tentu ada satu atau dua kecederaan tetapi ia bukanlah kecederaan teruk yang boleh menjejaskan persiapan pasukan.

“Sebolehnya kami mahu cuba melakukan kejutan dan menguji pasukan sebanyak mungkin pada PSAS sebelum bertolak ke Gold Coast bagi menghadapi Sukan Komanwel 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 10:14 PM