PEMAIN Red Star Belgrade, Uros Racic dihalang tiga pemain CSKA Moscow, semalam. FOTO Reuters
AFP

Belgrade: Bekas juara Eropah, Red Star Belgrade diikat seri tanpa jaringan oleh CSKA Moscow pada aksi pertama kelompok 32 pasukan terakhir Liga Europa awal pagi semalam selepas kedua-dua pasukan terlepas beberapa peluang untuk menghasilkan gol di ibu negara Serbia itu.

Red Star yang menjulang Piala Eropah pada 1991, memiliki peluang terbaik untuk muncul pemenang walaupun juara Piala UEFA 2005, CSKA Moscow menguasai sebahagian besar perlawanan di Stadium Rajko Mitic.

Penjaga gol pelawat, Igor Akinfeev menafikan cubaan Nemanja Radonjic pada minit ke-35 selepas pemain sayap itu berjaya melepasi kawalan pemain tuan rumah.

Akinfeev sekali lagi bertindak cemerlang untuk menepis rembatan Damien Le Tallec sejurus permainan bersambung di babak kedua.

Penyerang Comoros, El Fardou Ben Nabouhane hampir meledak gol buat Red Star, manakala tandukan pemain tengah, Nenad Krsticic sedikit tersasar sambil penjaga gol Kanada, Milan Borjan menyelamatkan rembatan Vitinho.

Vitinho terlepas peluang terakhir untuk menjaringkan gol apabila rembatannya tersasar sekali gus menjadikan kedua-dua pasukan masih boleh melangkah ke pusingan seterusnya apabila perlawanan timbal balik diadakan di Moscow pada 21 Februari ini.

“Kami mencipta beberapa peluang tetapi kami menentang pasukan hebat yang memiliki ramai pemain berpengalaman. Justeru, kami tidak boleh terlalu kecewa dengan keputusan ini,” kata jurulatih Red Star, Vladan Milojevic.

Penyerang, Aleksandar Pesic menambah: “Ia bukan mengenai keputusan buruk dan ia memberikan kami peluang untuk layak ke pusingan seterusnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:46 AM