SADIO Mane (kiri) meraikan kemenangan besar Liverpool ketika menewaskan FC Porto, sebentar tadi. Foto EPA

SADIO Mane mencatat hatrik ketika Liverpool berpesta gol membelasah Porto, 5-0 di Estadio do Dragao, di sini, sebentar tadi untuk selangkah lagi mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Mane meledak gol pertama pada minit ke-25, sebelum Mohamed Salah tampil menambah kelebihan The Reds empat minit kemudian untuk kedudukan 2-0 sebelum rehat.

Penyerang Senegal itu menambah jaringan kedua buat dirinya pada minit ke-53 untuk mengenepikan terus cabaran tuan rumah, sebelum Roberto Firmino turut mencatat nama sebagai penjaring 20 minit kemudian bagi kedudukan 4-0.

Ketika saingan berbaki lima minit, Mane sekali lagi tampil untuk melengkapkan hatriknya pada saingan di Eropah.

Liverpool yang beraksi buat pertama kali di peringkat kelompok 16 kejohanan selepas sembilan tahun, kini sudah hampir pasti mara ke peringkat suku akhir menjelang aksi kedua di Anfield pada 6 Mac ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:51 AM