AKSI Thanabalan (kanan) meraikan gol di KL2017.
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


Seremban: Penyerang muda sensasi skuad bawah 23 tahun negara (B-23), N Thanabalan mengaku dia memerlukan sedikit masa untuk berada pada prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan hamstring baru-baru ini.

Pemain berusia 22 tahun itu diturunkan sebagai pemain gantian ketika Negeri Sembilan tewas 0-3 di tangan Melaka United di Stadium Hang Jebat, Ahad lalu.

Sebelum ini, dia terlepas dua perlawanan awal menentang PKNP FC di Stadium Batu Kawan disusuli perlawanan kedua menentang Kuala Lumpur, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 7 Februari lalu.

“Saya memerlukan sedikit masa untuk capai prestasi yang baik susulan kecederaan. Malah, saya juga hanya dapat berlatih beberapa hari saja sebelum perlawanan menentang Melaka.

“Situasi itu membuatkan usaha membentuk keserasian yang mantap dengan pemain lain terutama di bahagian serangan tidak begitu berkesan.

“Walaupun dapat beraksi dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 10 minit pada penghujung permainan, tapi saya sudah berusaha memberikan yang terbaik namun tetap gagal membantu pasukan mengutip mata,” katanya.

Thanabalan mengaku kecewa dengan kekalahan besar kepada Melaka dan memohon maaf kepada penyokong skuad Hobin Jang Hobin yang hadir di Stadium Hang Jebat.

Pemain kelahiran Rantau itu yang musim lalu mewakili FELCRA FC dalam Liga FAM berkata, dia akan bekerja lebih keras lagi untuk membantu Negeri Sembilan kembali menyengat pada perlawanan akan datang.

Malah, dia juga sedar bakal berdepan tugas lebih mencabar dalam usaha membantu pasukan selepas tewas dua perlawanan.

Justeru, dia berharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Nicolas Velez dan Prak Mony Udom bagi mempertajamkan lagi jentera serangan khususnya menjelang pertemuan dengan Terengganu FC I (TFC I), 23 Februari ini.

“Saya berharap dapat membentuk keserasian lebih baik di bahagian serangan kerana Terengganu adalah pasukan yang kuat dan kami perlu gandakan usaha supaya dapat bangkit mencipta kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 8:01 AM