PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer. FOTO AFP
AFP

SHANGHAI: Roger Federer berkata, dia tidak rela tewas di hadapan keluarganya selepas dipaksa bekerja keras pada perlawanan kedua berturut-turut di Shanghai Masters, hari ini.

Juara bertahan itu mara ke suku akhir selepas mengatasi cabaran pemain ranking ke-28 dunia dari Sepanyol Roberto Bautista Agut 6-3, 2-6, 6-4.

Pilihan utama itu akan menentang pilihan kelapan dari Jepun Kei Nishikori manakala Novak Djokovic dan Alexander Zverev turut mara tetapi kurang mendapat tentangan lawan masing-masing.

Pada perlawanan pembukaan semalam legenda tenis Switzerland berusia 37 tahun itu juga terpaksa bermandi peluh ketika menentang pemain Russia Daniil Medvedev.

Juara 20 kali Grand Slam itu tampak tiada masalah menang set pertama ketika menentang Bautista Agut tetapi pemain Sepanyol itu menang di set kedua sekali gus mencipta sejarah peribadi apabila kali pertama dia berjaya berbuat demikian ke atas bintang Switzerland itu.

Bautista Agut, 30, tampak mampu menewaskan lawannya itu buat kali pertama dalam lapan pertemuan mereka.

Tetapi pada ‘game’ kesembilan set penentuan, Federer berjaya mematahkan servis lawan dan menggenggam jarinya selepas meraih mata kemenangan dalam aksi sengit itu.

Isteri Federer, Mirka bersama empat anak mereka berada di tempat duduk penonton dan Federer berkata selepas tamat perlawanan,“Saya tak pasti jika mereka melonjakkan semangat saya di atas gelanggang tetapi mereka berada di sini.”

"Saya berkata kepada diri saya, jangan hampakan mereka, saya tak boleh lakukannya (tewas) tetapi saya tak tahu adakah benar-benar ia membantu saya di atas gelanggang.”

Federer berkata dua perlawanan sengit itu memberikannya persiapan terbaik menentang Nishikori esok. - AFP

KEPUTUSAN ATP SHANGHAI MASTERS

- Pusingan ketiga

Roger Federer (SUI x1) mn Roberto Bautista Agut (ESP) 6-3, 2-6, 6-4

Kei Nishikori (JPN x8) mn Sam Querrey (USA) 7-6 (9/7), 6-4

Borna Coric (CRO x13) mn Juan Martín Del Potro (ARG x3) 7-5, tarik diri

Matthew Ebden (AUS) mn Peter Gojowczyk (GER) 6-2, 6-3

Kyle Edmund (GBR x11) mn Nicolas Jarry (CHI) 7-6 (7/5), 6-3

Alexander Zverev (GER x4) mn Alex de Minaur (AUS) 6-1, 6-4

Kevin Anderson (RSA x7) mn Stefanos Tsitsipas (GRE x10) 6-4, 7-6 (7/1)

Novak Djokovic (SRB x2) mn Marco Cecchinato (ITA x16) 6-4, 6-0

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 2:01 AM