ALCACER meraikan gol ketika Sepanyol menewaskan Wales. FOTO/AFP
AFP

CARDIFF: Paco Alcacer memberikan jentera serangan Sepanyol lebih banyak pilihan, selepas penyerang yang dipinjamkan ke Borussia Dortmund itu meledak dua gol ketika membantu negaranya membelasah Wales 4-1, awal pagi tadi.

Ketika Diego Costa mengalami kecederaan dan Rodrigo pula berada di bangku simpanan, Alcacer memanfaatkan peluang untuk meyakinkan bos La Roja, Luis Enrique dalam penampilan pertama antarabangsa sejak Mac 2016.

Penyerang berusia 25 tahun itu meneruskan prestasi hebat kelab ke pentas antarabangsa untuk memberikan masalah besar kepada pertahanan Wales, dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berat sebelah di Stadium Principality.

Alcacer meledak dua jaringan pada babak pertama untuk merakam gol kelapannya dalam 14 penampilan bersama Sepanyol, sementara Sergio Ramos dan Marc Bartra turut menemui jaringan buat pelawat.

Alcacer sudah menghasilkan tujuh jaringan sejak menyertai Dortmund dari Barcelona secara pinjaman, yang mana dia bergelut untuk memecah masuk skuad utama dan jarang dipilih Enrique ketika bertugas di Nou Camp.

Bagaimanapun, Enrique kini mungkin berubah hati selepas melihat persembahan hebat Alcacer pada malam yang penuh emosi buat Sepanyol, yang bertafakur selama seminit bagi mengingati sembilan mangsa banjir Majorca yang terkorban.

“Ia adalah perlawanan berintensiti tinggi. Saya suka dengan sikap pasukan saya hari ini. Mereka melakukan apa yang diarahkan saya,” kata Enrique.

Bagi Wales pula, tanpa kehadiran Gareth Bale berikutan kecederaan pangkal paha tampak menjejaskan ketajaman barisan depannya tatkala gol saguhati penyerang Burnley, Sam Vokes gagal menyelamatkan pengendalinya, Ryan Giggs daripada mengalami kekalahan ketiga daripada enam perlawanan.

Berbanding Enrique yang terus mengekalkan rekod bersih menang semua tiga perlawanan sejak mengambil alih pasukan selepas Piala Dunia 2018 berikutan penyingkiran Sepanyol pada peringkat suku akhir di Russia.

Ia adalah persiapan terbaik buat La Roja sebelum aksi Liga Negara-Negara berdepan England di Seville pada Isnin ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 11:26 AM