KLOPP mahu anak buah fokus kutip tiga mata. FOTO/AGENSI
Agensi

LIVERPOOL: Pencabar gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini, Jurgen Klopp memberi amaran kepada pesaing utama, Liverpool tidak berminat untuk menamatkan saingan di tangga kedua.

Ketika ini, Liverpool menyertai kelompok pendahulu liga dengan Chelsea dan penyandang juara, Manchester City masing-masing mengumpul 20 mata selepas menempuh lapan perlawanan.

Skuad bimbingan Klopp nampak bersedia melancarkan perang merebut trofi liga, selepas gagal melakukannya pada musim lalu.

City menamatkan saingan 10 mata berbanding pencabar terdekat musim lalu, manakala Liverpool di tangga kedua, dengan ketinggalan 25 mata.

Klopp meraikan tiga tahun mengemudi Liverpool minggu ini dan pengendali dari Jerman itu menegaskan, beliau bukannya bersaing untuk merebut tangga kedua.

“Dalam kebanyakkan sukan, jika berada di tangga kedua di Sukan Olimpik, anda akan pulang dengan pingat perak,” kata Klopp.

“Dalam bola sepak, ia langsung tiada makna. Begitu juga dengan saya. Saya mahu menang dan saya tahu, ini adalah satu tanggungjawab.

“Saya mempertaruhkan semuanya, pengetahuan, kesabaran, perasaan, pengalaman - saya letakkan semua itu untuk kelab. Pada suatu ketika, ia sepatutnya berjalan lancar dan kini, kami sepatutnya memiliki detik terbaik.

Chelsea pula mengejutkan perlumbaan merebut gelaran musim ini dengan bos baharu, Maurizio Sarri dilihat berjaya menyuntik magis ke atas skuad bimbingannya.

City pula dlihat tidak begitu berjaya memulakan kempen menakjubkan seperti musim lalu, dan ramai pemerhati melihat Chelsea dan Liverpool mampu muncul pencabar utama dan merosakkan impian skuad juara bertahan itu.

Saingan Liga Perdana ditangguhkan sementara sehingga 20 Oktober ini sempena musim rehat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:02 PM