PENYOKONG Blues diugut Abramovich jika mereka anti-Yahudi. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Chelsea bercadang memperkenalkan kaedah baharu untuk menyelesaikan masalah perkauman penyokong kelabnya, dengan menghantar mereka ke kem Auschwitz – sebuah kem tahanan tentera yang melambangkan kekejaman pemerintahan Nazi.

Pemilik Blues, Roman Abramovich yang juga seorang yahudi, memperkenalkan kaedah itu bagi menangani masalah golongan anti-Yahudi.

Berbanding mengenakan perintah larangan ke stadium, Chelsea akan memberi penyokongnya pilihan untuk menyertai lawatan berkenaan atau kehilangan tiket bermusim.

Pengerusi Chelsea, Bruce Buck berkata: “Jika anda melarang mereka daripada menghadiri perlawanan, anda tidak mampu mengubah sikap golongan ini.

“Polisi sebegini akan memberikan mereka lebih peluang untuk menyedari kesalahan yang telah mereka lakukan, dan menjadikan mereka bersikap lebih baik di masa hadapan.

“Jika dulu, kita dengan mudah mengasingkan mereka daripada penyokong lain dan melarang mereka menonton perlawanan sehingga tiga tahun.

“Sekarang kami akan berkata: ‘Anda melakukan perkara yang salah, dan kini mempunyai pilihan. Kami boleh melarang anda dari hadir ke stadium atau anda boleh meluangkan masa dengan pegawai kami untuk memahami kesalahan yang anda telah lakukan.”

Pada September 2017, selepas pertemuan di Leicester, Chelsea menyelar beberapa penyokongnya ekoran laungan anti-Yahudi yang ditujukan kepada pasukan jiran, Tottenham – kelab yang mempunyai ramai penyokong Yahudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:29 PM