MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari. FOTO Faiz Anuar
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Isu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut mendapat perhatian Menteri Besar, Amirudin Shari yang meminta semua pihak berdiri teguh di belakang kepimpinan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin yang pernah memegang jawatan sebagai pengurus skuad Red Giants berkata, ahli gabungan seharusnya bersabar dan memberi peluang kepada Presiden FAS dan Exco untuk melaksanakan perubahan.

“Saya mengambil berat dan mengikuti dengan teliti perkembangan terbaru FAS khususnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Amir, hari ini.

“Pentadbiran negeri menyambut baik dan menyokong penuh usaha dan agenda pembaharuan yang cuba dilaksanakan oleh Presiden FAS sejak beliau memegang tampuk pentadbiran FAS.

“Sokongan dan komitmen kerajaan negeri ini dizahirkan dalam pelbagai aspek antaranya dengan suntikan dana berjumlah RM5 juta bagi menyelesaikan beberapa tunggakan pentadbiran FAS sebelum ini.

“Sokongan kerajaan negeri kepada FAS adalah atas keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS serta harapan peminat bola sepak negeri yang mahukan FAS berjaya,” katanya yang pernah mengetuai pasukan menjulang Piala Malaysia pada 2015 untuk menamatkan misi ke-33 selain turut muncul naib juara setahun kemudian.

Katanya, pertelingkahan dan perpecahan hanya akan membawa kesan negatif kepada FAS yang seterusnya akan menyebabkan hilang kepercayaan peminat.

“Perlu diingat agenda ini tidak akan membuahkan hasil sekelip mata sebaliknya memerlukan masa dan sokongan semua pihak untuk direalisasikan.

“Justeru saya menyeru kepada ahli Exco FAS dan kelab gabungan serta persatuan yang bernaung di bawah FAS supaya memberikan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Raja Muda Selangor selaku Presiden FAS.

“Saya percaya jika aspek musyawarah dan perbincangan dikekalkan beberapa salah faham yang timbul dapat dirungkaikan demi masa bola sepak Selangor.”

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan segelintir kelab gabungan menuntut supaya kongres luar biasa (EGM) diadakan untuk memilih Exco baru kerana berpendapat pelantikan dua Naib Presiden, Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat tidak mengikut perlembagaan selain beberapa ketirisan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 7:34 PM