KANAK-KANAK melakukan aktiviti menggunakan modul.
ANTARA aktiviti yang dijalankan
MODUL pembelajaran yang dijalankan sepanjang projek.
AKTIVITI kanak-kanak yang dijalankan.
DR Mohd Nazri memberi penerangan kepada salah seorang guru.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


Cerita rakyat seperti Pak Pandir, Bawang Putih Bawang Merah dan Nujum Pak Belalang begitu dinantikan kanak-kanak suatu masa dulu kerana jalan cerita menarik serta penuh nilai moral yang tinggi.

Tapi sayangnya, situasi 30 atau 40 tahun lalu itu tidak berulang pada zaman ini.

Kanak-kanak ketika itu begitu setia menunggu bapa atau ibu menceritakan kisah yang hanya disampaikan melalui lisan.

Jika ditanya kepada generasi baru sekarang, mungkin ada yang tidak tahu siapa itu Pak Pandir? Begitu juga kisah dua wanita, Bawang Merah dan Bawang Putih atau kisah Pak Kadok yang lucu.

Tidak tahu di mana silapnya, cerita seperti itu semakin lenyap seiring peredaran zaman, cerita luar seperti Snow White, Cinderella dan Frozen pula 'disogok-sogokkan' hingga membuatkan mereka taasub dengan karakter animasi berkenaan.

Terdapat ratusan cerita rakyat yang disampaikan secara lisan, bukan hanya di Semenanjung saja, bahkan di Sabah dan Sarawak turut mempunyai hikayat dongengnya sendiri.

Menurut Pensyarah Kanan (Pendidikan Awal Kanak-kanak) Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Nazri Abdul Rahman, cerita rakyat berupaya menyumbang ke arah kejayaan akademik dan kesejahteraan emosi kanak-kanak melalui sistem pendidikan bahasa Melayu.

Jelasnya, ia sesuai dijadikan bahan bercerita dan alat pembelajaran untuk menggalakkan pelajar meneroka keunikan diri mereka.

Selain itu, katanya, ia juga dapat meningkatkan tahap kebolehan mereka berkomunikasi melalui pemikiran, perasaan dan meluahkannya dalam bentuk oral yang teratur.

“Dalam dunia sekarang yang serba maju dan canggih, aktiviti bercerita dapat dijadikan alat untuk memupuk serta menyuburkan sifat peka pelajar terhadap kelebihan menguasai bahasa dengan baik.

“Selain itu, ia juga menyedarkan mereka bahawa adalah penting kita mempunyai kemahiran mendengar yang baik bagi mewujudkan komunikasi yang berkesan antara individu,” katanya.

Menurut Dr Mohd Nazri, murid yang tidak dibiasakan dengan identiti budaya masyarakat Melayu kemungkinan menghadapi kesukaran untuk mengaitkan cerita rakyat ini bagi dijadikan pedoman dan suri teladan kepada mereka.

Katanya, hal ini banyak berlaku terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini berikutan masalah celik huruf yang tinggi.

“Kajian yang dijalankan berkaitan Pendidikan Kanak-kanak Orang Asal mendapati salah satu faktor penyumbang kepada permasalahan ini adalah kanak-kanak Orang Asli kurang minat ke sekolah serta tidak dapat mengaitkan kehidupan seharian mereka dengan apa yang mereka pelajari di sekolah.

“Contohnya, kanak-kanak Orang Asli diajar membaca perkataan seperti bas, kapal terbang, komuter dan kereta api sering digunakan dalam konteks kenderaan sehari-hari masyarakat umum.

“Namun bagi kanak-kanak Orang Asli, yang datang dari latar kehidupan yang berbeza, nama jenis pengangkutan itu adalah terlalu asing buat mereka,” katanya.

Oleh itu, katanya, guru perlu bijak menggunakan jenis pengangkutan lain seperti perahu, rakit, bot, dan sebagainya yang lebih hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Malah Dr Mohd Nazri membangunkan satu siri modul cerita rakyat yang berasaskan cerita Orang Asal Sabah untuk membantu menangani permasalahan itu.

Modul Pembelajaran Asas Literasi berasaskan Cerita Rakyat itu direka bentuk berdasarkan tesis beliau ‘Model Homeschooling Orang Asli berasaskan nilai dan amalan masyarakat bagi kanak-kanak Orang Asli’ (2014).

Modul itu mengandungi lima cerita masyarakat Orang Asal Sabah (Kadazan-Dusun) iaitu Ikan dan Tupai, Hominodun (Asal Usul Padi), Tikus dan Kundur, Si Anak-Anak dan Si Konomulok dan Ligot Liou dan Yanak Anak.

“Pengumpulan cerita dibuat bermula pada 2014 yang dibantu Pensyarah IPG Kent, Lajiwin Kudon@Jovinia secara lisan. Pemilihan cerita rakyat melalui proses pemilihan oleh sekumpulan pakar yang dilantik melalui pendekatan Fuzzy Delphi.

“Seterusnya, penulisan cerita ini diolah dan disesuaikan semula dengan peringkat pembacaan kanak-kanak prasekolah dengan bantuan kepakaran daripada pihak UM,” jelasnya.

Katanya, pembinaan Modul Pembelajaran Asas Literasi berasaskan Cerita Rakyat Orang Asal Kadazan-Dusun ini dibangunkan sekumpulan pakar menggunakan teori Experiental Learning (Kolb, 1984) iaitu pembelajaran melalui pengalaman, memberi maklum balas secara kritis, membuat generalisasi daripada apa yang dipelajari dan menggunakan apa yang dipelajari kepada pembelajaran baru.

Selain itu, ia juga mengunakan penekanan pendekatan berbentuk Asas Cerita Kreatif-Tradisi Masyarakat Orang Asal apabila pembabitan kanak-kanak secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran mengenal bunyi dan huruf.

Di bawah bantuan Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) dan kerjasama daripada Fakulti Pendidikan UM dan Institut Pendidikan Guru, Kampus Kent, Tuaran Sabah program modul pembelajaran asas literasi berdasarkan cerita rakyat masyarakat Orang Asal ini dijalankan di beberapa tempat di sekitar Sabah.

Tabika Perpaduan Kampung Lohan, Ranau, Sabah dan Prasekolah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran Sabah dipilih sebagai sekolah projek pelaksanaan modul ini.

Guru yang terbabit dengan pelaksanaan modul pembelajaran ini diberi latihan dengan tiga teknik bercerita Cerita Rakyat iaitu ‘Grab Bag’ Story Telling, ‘Round Robin’ Story Telling dan ‘Pictorial’ Story Telling.

Selain itu, mereka (guru) turut didedahkan dengan pendekatan Phonics dan Whole Language sebagai asas pembelajaran literasi.

Ini kerana modul yang dibangunkan ini mengaplikasikan pendekatan Phonics dan pendekatan whole language dengan beberapa pengubahsuaian yang memberi penekanan kepada kepelbagaian teknik menggunakan sumber cerita rakyat seperti adat resam, alam persekitaran, cara hidup, bahasa dan lain-lain sumber dalam masyarakat Orang Asal.

Pelaksanaan projek ini menampakkan keberhasilan murid yang tinggi dalam kebolehan asas membaca dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.

Melalui modul ini, guru dapat mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan menghubungkaitkan dengan pengalaman kehidupan seharian murid Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 2:17 PM