AIMAN ketika diumumkan Anugerah Tangan Emas.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Bagi melahirkan graduan yang berkemahiran dan cemerlang seiring kehendak pasaran industri, pertandingan PolySkills antara platform yang mencungkil bakat penuntut politeknik di negara ini ke peringkat antarabangsa.

PolySkills 2018 itu diadakan selama tiga hari di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Pertandingan itu menyaksikan Aiman Saharom dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak memenangi Anugerah Tangan Emas bagi rekaan pendingin hawa.

Sementara Anugerah Jari Emas pula dimenangi peserta Politeknik Kuching, Sarawak iaitu Norazah Bujang bagi bidang perakaunan dan Anugerah Minda Emas diterima Ainul Mahfuzah Rozman dari Politeknik Nilai, Negeri Sembilan melalui rekaan gubahan bunga.

Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata, penganjuran PolySkills 2018 adalah inisiatif terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan teknik dan vokasional.

Katanya, pertandingan itu juga berupaya mempromosikan bidang kemahiran, sekali gus mengubah pemikiran masyarakat terhadap bidang teknikal dan vokasional yang sering dianggap sebagai sektor pendidikan kelas kedua.

“Pertandingan ini juga adalah landasan yang memberi peluang kepada penuntut untuk mempamerkan kemahiran dan kebolehan mereka khususnya dalam bidang teknikal,” katanya pada majlis Penutup Anugerah PolySkills 2018. Turut hadir Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail.


NORAZAH (kiri), Aiman dan Ainul Mahfuzah bersama anugerah yang diterima pada majlis Anugerah PolySkills 2018.

Katanya, kemahiran tenaga kerja negara berupaya memacu operasi industri dan perniagaan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Usaha memantapkan pembangunan modal insan terbaik di bidang teknikal dan vokasional adalah untuk menyokong pembangunan industri serta penguasaan teknologi.

“Ia seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan kemahiran dari negara luar. Ia adalah usaha berterusan dari semua pihak berkepentingan,” katanya.

PolySkills 2018 kali ini menyaksikan 26 bidang kemahiran dipertandingkan dengan pembabitan 432 penuntut politeknik di negara ini.

Bidang kemahiran berkenaan ialah gubahan bunga, mekatronik, pastri, perkhidmatan restoran, rangkaian pengurusan teknologi maklumat, teknologi fesyen, rekaan grafik dan pembuatan kabinet.

PolySkills adalah inisiatif JPPKK yang bukan hanya menyatukan semua politeknik, malah turut mencungkil bakat dan kemahiran pelajar ke peringkat pertandingan lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:18 PM