PELAJAR gembira menikmati minuman Milo.
PELAJAR mengambil minuman Milo percuma.
Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my

Bagi membantu murid kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat, MILO dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Activ Jam Senam Aerobik, baru-baru ini.

Pertandingan senam aerobik peringkat kebangsaan itu adalah di bawah inisiatif 1Murid 1Sukan menerusi satu siri aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan pelajar dan guru.

Pengurus Pemasaran Sukan MILO, Ng Ping Loong berkata, pertandingan ini bakal menyaksikan 10 sekolah rendah dan 16 kumpulan Muhibbah (terbuka) berentap untuk merangkul gelaran juara kebangsaan kategori masing-masing.

Katanya, pemenang setiap kategori akan menerima peralatan sukan bernilai RM5,000 dan berpeluang muncul sebagai juara senam aerobik kebangsaan yang pertama.


DR Mehander dan Ng (tiga dari kanan) bermesra dengan murid.

“Inisiatif ini membantu mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan Kementerian Pendidikan Malaysia yang terjalin sejak 40 tahun lalu.

“Sebagai peneraju pembangunan sukan di peringkat akar umbi, kami komited dalam menyokong usaha berterusan Kementerian Pendidikan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan memupuk budaya kecemerlangan sukan dalam kalangan pelajar.

“Oleh itu, kami memperkenalkan Activ Jam Senam Aerobik kepada murid-murid menerusi 1Murid 1Sukan untuk menunjukkan betapa mudahnya kekal aktif dan sihat dengan senam aerobik yang ringkas, menyeronokkan serta menyihatkan badan,” katanya.


DR Mehander dan Ng (tiga dari kanan) bermesra dengan murid.

Dasar 1Murid 1Sukan diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2011 di bawah program pembangunan sukan sekolah yang mewajibkan setiap murid untuk menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

Dasar ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Mehander Singh berkata, berdasarkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan sukan untuk semua, 1Murid 1Sukan menekankan penyertaan setiap pelajar dalam sukan sebagai satu reformasi pendidikan. Ia bagi menerap nilai positif di samping mempromosikan kesihatan fizikal menerusi sukan untuk manfaat setiap pelajar.


DR MEHANDER dan Ng bergambar bersama pelajar pelajar Sk Putrajaya Presint 11 (1) sempena Program Activ Jam Senam Aerobik KPM-Milo.

“Activ Jam Senam Aerobik adalah satu langkah yang sejajar dengan usaha sama kami untuk memartabatkan sukan sebagai asas pembangunan negara sejak usia muda,” katanya.

Activ Jam Senam Aerobik sebahagian daripada kempen MILO Aktif Negaraku yang mensasarkan lima juta rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Dilancarkan pada awal tahun ini, MILO Aktif Negaraku ialah kesinambungan komitmen MILO terhadap usaha pembangunan negara menerusi sukan di peringkat akar umbi. Merangkumi program sukan MILO popular seperti MILO Hidup Bola dan Klinik Juara MILO.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 1:30 PM