PENGASAS Naelofar Hijab, Neelofa (tengah) bersama juruterbang AirAsia.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: AirAsia Berhad (AirAsia) dan jenama hijab terkemuka, Naelofar Hijab bekerjasama melancarkan hijab yang direka secara eksklusif untuk dipakai juruterbang wanita yang berhijab dalam syarikat penerbangan berkenaan.

Mulai bulan ini, juruterbang wanita AirAsia dan AirAsia X yang berhijab akan mengenakan Naelofar Hijab berwarna putih yang direka khas bagi memenuhi tugasan serta keperluan harian mereka.

Ketua Penjenamaan Serantau AirAsia Rudy Khaw berkata, buat julung kali, AirAsia bekerjasama dengan pereka hijab untuk menghasilkan hijab bagi juruterbang wanita yang bertudung.

“Kami kini merancang untuk bekerjasama dengan Naelofar Hijab bagi memberi nafas baru kepada rekaan hijab untuk semua petugas lain yang bertudung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Hijab terbaru itu menggunakan sejenis fabrik istimewa dengan ciri-ciri tambahan yang fleksibel untuk memudahkan pergerakan si pemakai, dengan sentuhan terakhir dihiasi simbol Naelofar Hijab bertatahkan kristal Swarovski.

Juruterbang wanita AirAsia terbabit secara langsung dalam proses rekaan dan bekerja rapat dengan pereka Naelofar Hijab bagi menghasikan produk yang praktikal, selesa dan bergaya untuk tugasan harian mereka.

Sebelum dilancarkan, prototaip yang dihasilkan sudah melalui pelbagai ujian pemakaian oleh juruterbang wanita syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Pengasas Naelofar Hijab, Neelofa berkata, peluang mereka hijab wanita itu sangat menarik dan memberikan syarikat itu peluang mencipta hijab yang lebih khusus, selesa, praktikal dan bergaya.

“Bekerja secara langsung dengan AirAsia dan juruterbang wanita mereka dalam setiap perincian rekaan hijab ini adalah pengalaman yang menyeronokkan dan kami berpuas hati dengan produk yang dihasilkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 8:18 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »