Mohammad Ammar bersama isteri, Noremilia Sharmila Nawawi dan anaknya meninjau kandang kambing di Goat 2go Farm @ MAEPS Serdang.
Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: The Shepherd Roasted Lamb, syarikat yang menyediakan perkhidmatan kambing golek menyasarkan untuk menjual 15,000 ekor kambing pelbagai masakan menjelang akhir tahun ini, berbanding 10,000 ekor tahun lalu.

Pemiliknya, Mohammad Ammar Sobri berkata, pihaknya yakin mampu mencapai unjuran ditetapkan, lebih-lebih lagi melihat sambutan hangat menjelang musim perayaan tidak lama lagi terutama pada Aidiladha.

“Dalam tempoh sehari, kami berupaya menghidangkan sehingga 100 ekor kambing di 21 lokasi di empat negeri merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 70 ekor kambing akan dipanggang manakala bakinya dihidangkan dalam enam pilihan masakan berkuah,” katanya ketika ditemu bual di ladang Goat 2go Farm @ MAEPS Serdang.

Menurutnya, hasil usahasama dengan pembekal daging kambing segar, Major Transglobal Sdn Bhd, The Shepherd Roasted Lamb kini bersedia menawarkan perkhidmatan dari ladang ke pinggan dengan pilihan daging kambing berkualiti tinggi.

Mohammad Ammar berkata, The Shepherd Roasted Lamb menawarkan pelbagai pilihan kambing golek daripada baka berbeza seperti biri-biri, Dorper, Boer, Damara dan Merinho.

“Kebiasaannya, kami menyarankan pelanggan untuk menikmati kambing golek Baby Dorper (berusia lima bulan) kerana ia mempunyai kualiti daging terbaik, selain teksturnya yang lembut dan lebih berjus berbanding daging kambing lain.

“Pakej kambing golek bermula RM1,400 sehingga RM1,600 ini akan disertakan bersama hidangan sampingan lain termasuk sup cendawan, salad campur (coleslaw) dan kentang lenyek selain tiga pilihan sos berbeza iaitu lada hitam, pudina dan ala Thai,” katanya.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman Facebook (EA Inspire Ent) dan Instagram (theshepherd88).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 7:25 AM