Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula yang terbabit dalam industri fesyen untuk menyertai pelbagai program pembangunan eksport yang diadakan bagi membantu mereka meneroka pasaran antarabangsa.

Industri fesyen yang mula mendapat perhatian MATRADE sejak 2014 menunjukkan prestasi yang positif apabila pada 2016, nilai eksport industri itu meningkat 5.1 peratus kepada RM13.88 bilion berbanding RM13.21 bilion pada 2015.

Pengarah Unit Gaya Hidup, Bahagian Perdagangan dan Promosi Perkhidmatan MATRADE Abu Bakar Yusof berkata, sejak 2014 hingga kini, terdapat 2,400 usahawan yang berdaftar dengan unit berkenaan dan sekitar 800 daripada mereka terdiri daripada usahawan fesyen.

Beliau berkata, menerusi pemerhatian MATRADE mendapati pemain industri berkenaan berpotensi untuk meneroka pasaran eksport dengan mengetengahkan pakaian siap dipakai (RTW) dan sopan yang terdiri daripada konsep Islamik.

“Ketika ini memang ramai usahawan tempatan yang menyertai industri fesyen terutama syarikat pemula dan kebanyakan mereka tidak tahu produk yang dihasilkan mereka boleh dibawa ke luar negara dan mendapat permintaan yang tinggi terutama bagi pasaran ASEAN.

“Berikutan itu, setiap tahun, selain menganjurkan program pembangunan usahawan eksport dalam kalangan PKS fesyen, Matrade turut menganjurkan Minggu Fesyen Malaysia bagi memberi tumpuan kepada padanan perniagaan antara syarikat tempatan dan luar negara dan hasilnya positif,” katanya, di sini, semalam.

Minggu Fesyen Malaysia pada 2016 mencatatkan nilai jualan RM212.78 juta, meningkat 67 peratus berbanding 2015 dan setakat ini, eksport berjumlah RM22 juta berjaya dilakukan usahawan fesyen dan gaya hidup tempatan ke pasaran India, Filipina, United Kingdom, Taiwan, China dan Filipina.

Dalam empat bulan pertama tahun ini, eksport sektor fesyen yang terdiri daripada produk tekstil, pakaian siap dan kasut berkembang 9.7 peratus kepada RM5.09 bilion berbanding RM4.65 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Manakala, pasaran utama industri fesyen tempatan adalah Amerika Syarikat sebanyak RM2.23 bilion dan menyumbang 16 peratus kepada jumlah eksport produk tekstil pakaian siap dan kasut diikuti Jepun (RM1.18 bilion) dan Turki (RM975.7 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 7:31 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »