APLIKASI Cash2Home tawar transaksi yang dilindungi.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan Alliance Islamic Bank memperkenalkan aplikasi pemindahan wang dikenali sebagai Cash2Home bagi memudahkan proses penghantaran wang khususnya dalam kalangan pekerja asing di Malaysia.

Aplikasi itu dibangunkan untuk memudahkan urusan pemindahan wang sama ada dalam kalangan pekerja atau majikan tanpa perlu hadir ke cawangan fizikal, sebaliknya hanya menggunakan telefon pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Bank Joel Kornreich berkata, aplikasi berkenaan menawarkan transaksi yang dilindungi dan selamat dengan gabungan pengecaman wajah.

“Ia hanya memerlukan langkah mudah untuk membuka akaun melalui aplikasi berkenaan dengan dokumen diperlukan meliputi gambar pemohon, pasport dan permit kerja.

“Ia memberi kemudahan kepada mereka kerana tidak perlu lagi mengambil cuti atau ke mana-mana cawangan untuk membuat penghantaran wang,” katanya selepas pelancaran aplikasi itu di sini, semalam.

Menurutnya, melalui aplikasi berkenaan, pekerja asing yang mahu menghantar wang ke negara mereka hanya perlu membuat transaksi dengan memasukkan jumlah wang dan alamat penerima.

“Untuk memastikan tahap keselamatan yang tinggi, pembuat bayaran akan menerima kod yang perlu diberikan kepada penerima.

“Ia secara tidak langsung menjamin keselamatan, selain keperluan menyertakan gambar swafoto untuk mengesahkan pihak yang membuat penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan untuk mencapai hingga ratusan ribu pekerja asing menggunakan aplikasi berkenaan memandangkan ada 2.1 juta pekerja asing bekerja di Malaysia.

“Menurut kajian, 92 peratus pekerja asing memiliki telefon mudah alih dengan 61 peratus daripadanya telefon pintar.

“Daripada ujian awal yang dilakukan, 100 peratus pekerja asing memberikan maklum balas positif mengenai aplikasi berkenaan dengan 65 peratus majikan menyatakan minat menggunakan aplikasi berkenaan,” katanya.

Setakat ini, sembilan negara berada dalam senarai penerima iaitu India, Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Filipina, Sri Lanka, Pakistan dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 4:33 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »