MARTIN (lima dari kiri) pada Forum Tarif Semula Insurans Motor CTOS, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: CTOS Holdings Sdn Bhd (CTOS), agensi laporan kredit tempatan menjangkakan semua syarikat insurans di Malaysia akan menggunakan skor kredit CTOS dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang berikutan pelaksanaan tarif semula insurans motor bermula 1 Julai depan.

Liberalisasi insurans motor itu akan menyaksikan premium tidak lagi ditetapkan pada kadar tertentu, sebaliknya berdasarkan pasaran dan profil risiko dengan premium akan dikeluarkan berasaskan penilaian risiko individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dennis Martin berkata, pengenalan kadar harga insurans berdasarkan risiko itu akan menggunakan teknik statistik untuk mendapatkan maklumat mengenai individu yang dilindungi dan menentukan profil risiko masing-masing.

“Kami lihat liberalisasi itu memberi peluang kepada kami untuk mendapatkan segmen pelanggan lebih baik melalui skor dan maklumat kredit CTOS di mana ia memiliki ciri seperti skor insurans yang digunakan di luar negara,” katanya pada Forum Tarif Semula Insurans Motor CTOS di sini, semalam.

Beliau berkata, Skor CTOS adalah nombor tiga angka yang mewakili kebolehpercayaan kredit individu yang boleh digunakan sebagai instrumen diyakini bagi menetapkan harga premium insurans berdasarkan risiko diterima pengguna.

Menurutnya, syarikat insurans berpeluang menawarkan premium lebih baik terutama kepada pelanggan berisiko rendah manakala pelanggan insurans boleh melakukan pilihan lebih baik dalam mendapatkan insurans yang menepati keperluan pada harga lebih tepat.

“Untuk kami, langkah liberalisasi itu dilihat baik kepada industri insurans tempatan kerana ia menawarkan fleksibiliti dari aspek harga, sekali gus menggalakkan daya saing dalam kalangan pemain insurans tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 10:21 AM