MUSTAPA (kanan) ketika melawat pameran selepas merasmikan Industry Seminar 4.0 di Menara MITI, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Draf Polisi Nasional berkaitan Industri 4.0 akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum penghujung tahun ini dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengetuai jawatankuasa kerja pembangunan draf berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan sesi penerangan dan perbincangan dengan agensi berkaitan selain turut mendapat penyertaan dari sektor swasta.

“Kita perlu membuat lebih banyak sesi penerangan untuk memberi pendedahan berkaitan Industri 4.0 ini supaya pemahaman mengenainya dapat disampaikan dengan lebih baik,” katanya selepas taklimat berkaitan Industri 4.0 bersama kakitangan awam, di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini kebanyakan agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing dalam menyebarkan maklumat berkaitan Industri 4.0, namun ia perlu dilakukan secara tersusun.

“Setiap agensi mempunyai perancangan tersendiri dan MITI berasakan ia perlu diselaraskan. Maka, jawatankuasa kerja ini akan memainkan peranan untuk memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan di bawah satu jawatankuasa supaya ia dapat dijalankan dengan lebih mudah,” katanya.

Di bawah jawatankuasa berkenaan, terdapat lima kumpulan kerja berbeza iaitu berkaitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan bakat dan sumber manusia, insentif, infrastruktur dan teknologi.

Beliau berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada pemain PKS kerana perubahan yang berlaku dalam Industri 4.0 memberi kesan besar kepada kelompok terbabit.

“Jika mereka tidak mempersiapkan diri, kemungkinan ada syarikat PKS yang ketinggalan kerana tidak faham kepentingan revolusi ini.

“Kita mahu mereka terus berdaya saing dan kementerian akan mengadakan lebih banyak sesi taklimat dan penerangan kepada PKS tempatan selepas ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak terlalu bimbangkan syarikat berstatus multinasional kerana mereka sudah bersedia dengan revolusi Industri 4.0.

“Untuk syarikat berstatus multinasional, mereka sememangnya perlu melengkapkan organisasi dan operasi mengikut keperluan Industri 4.0 kerana saingan mereka adalah daripada syarikat lain yang sememangnya sudah bergerak kepada revolusi ini beberapa tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 6:49 AM