MUSTAPA berucapan pada pelancaran ASEAN Circle dan Dialog ASEAN Circle.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia memerlukan lebih banyak maklum balas daripada syarikat swasta dalam usaha mengurangkan pendekatan tanpa tarif (NTM) dan paras halangan tanpa tarif (NTB) di rantau ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia penting bagi membantu pelaksanaan kad markah seperti dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak ASEAN 2017 di Manila, April lalu.

“Aduan daripada syarikat swasta diperlukan dalam usaha mengurangkan NTB dan NTM di mana sehingga kini 6,000 kes NTM dan NTB dilaporkan di ASEAN,” katanya sempena pelancaran ASEAN Circle dan Dialog ASEAN Circle, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Sebelum ini, Najib mencadangkan setiap negara anggota ASEAN wajar memiliki kad markah bagi mengenal pasti pencapaian semasa dalam usaha mengurangkan paras NTB dan NTM, sekali gus membantu mencapai sasaran nilai dagangan RM39.46 trilion (AS$9.2 trilion) menjelang 2050.

Berdasarkan perangkaan semasa, NTB dan NTM mencatatkan peningkatan ketara daripada 1,634 kepada 5,975 kes dalam tempoh antara 2000 hingga 2015.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia menjadi negara terawal yang melakukan perbincangan mengenai pelaksanaan kad markah yang kini masih di peringkat awal.

“Saya mengadakan pertemuan dengan wakil Indonesia di Jakarta, baru-baru ini, di mana mereka memberikan taklimat kepada saya mengenai pencapaian yang berjaya dicapai setakat ini,” katanya.

ASEAN Circle adalah inisiatif ISIS Malaysia dan tiga kementerian iaitu Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan MITI bagi menubuhkan kumpulan perbincangan bersama sektor awam dan swasta, ahli akademik, media, pemikir serta orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 1:52 AM