DARI kiri, Ramanathan, Scha, Naib Presiden Landmark Group, Renuka Jagtiani dan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Berhad, Lee Yeow Seng pada pelancaran Max Fashion di pusat beli-belah IOI City Mall.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Putrajaya: Landmark Group, peruncit terkemuka antarabangsa berpangkalan di Dubai membuka cawangan pertama gedung pakaiannya, Max yang terletak di pusat beli-belah IOI City Mall.

Pengarah Kumpulan Landmark Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Max, Ramanathan Hariharan berkata, pihaknya memilih Malaysia berikutan infrastruktur sedia ada di sini selain pasaran pengguna yang semakin berkembang.

“Malaysia mempunyai pasaran pengguna paling pesat berkembang di rantau ini dengan kemudahan serta landskap perniagaan yang menarik perhatian kami untuk beroperasi di sini.

“Negara ini juga memiliki banyak kemudahan pusat beli-belah bertaraf antarabangsa selain golongan muda yang begitu dekat dengan perkembangan fesyen terkini dan lebih menghargai rekaan pada harga mampu milik,” katanya selepas melancarkan gedung pertama Max, di sini.

Hadir sama, selebriti terkenal tanah air, Scha Alyahya.

Gedung baru itu seluas 13,000 kaki persegi dan akan menempatkan fesyen lelaki, wanita, kanak-kanak selain kasut, beg tangan, aksesori dan pakaian dalam.

Ramanathan berkata, Landmark Group akan menjadikan Malaysia sebagai pemangkin pengembangan operasi syarikat itu di Asia Tenggara dengan rancangan untuk membuka lebih banyak gedung di negara ini dalam tempoh terdekat.

“Sebagai permulaan, kami merancang membuka empat atau lima lagi gedung di Malaysia dalam tempoh enam bulan akan datang yang mana lokasinya adalah sekitar Lembah Klang.

“Selepas itu, kami akan meneliti lokasi lain di seluruh negara selain meninjau pasaran di sekitar Asia Tenggara,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya pihaknya juga akan memperkenalkan sistem pembelian melalui portal dalam tempoh setahun bagi memenuhi trend membeli-belah secara dalam talian dalam kalangan pengguna Malaysia.

“Kami sedar mengenai trend pembelian dalam talian ini namun memerlukan sedikit masa untuk menawarkannya melalui sistem berkenaan.

“Tumpuan kami adalah meningkatkan jenama Max dalam kalangan pengguna tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 7:52 AM